SHAH ALAM – Keputusan kerajaan membatalkan cadangan pelaksanaan ujian diagnostik terhadap kanak-kanak berusia enam tahun bagi kemasukan ke Tahun Satu disifatkan sebagai satu pusingan U yang mencerminkan kelemahan dalam kajian awal perangkaan dasar pendidikan negara.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pembatalan itu menunjukkan bahawa kerajaan tidak melakukan penyelidikan mendalam sebelum mengumumkan polisi berkenaan kepada umum.
Beliau menerusi satu hantaran di laman Facebook menyambut baik keputusan kerajaan menarik balik cadangan tersebut demi kepentingan rakyat, namun mengkritik proses perancangannya.
“Baguslah kerajaan U-turn pula untuk kebaikan rakyat. Tapi itulah, menampakkan kerajaan sebenarnya tidak buat kajian yang mendalam sebelum umumkan polisi,” ujarnya menerusi hantaran di laman media sosial itu pada Selasa.
Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat pada Selasa bahawa kerajaan membatalkan rancangan pelaksanaan ujian diagnostik bagi kanak-kanak berusia enam tahun untuk menilai kelayakan mereka memasuki Tahun Satu.
Minggu lalu, Anwar melancarkan Pelan Pendidikan 2026–2035 yang memperkenalkan beberapa inisiatif baharu, termasuk memberi pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak berusia enam tahun ke Tahun Satu sekiranya mereka percaya anak itu sudah bersedia.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, memaklumkan bahawa pelaksanaan yang dirancang bermula tahun depan akan dibuat secara berfasa melalui penilaian diagnostik, dengan keutamaan diberikan kepada kanak-kanak yang benar-benar bersedia.
Bagaimanapun, cadangan tersebut menerima kritikan daripada pelbagai pihak yang bimbang ia boleh mewujudkan sistem pendidikan dua darjat dan memberi tekanan awal kepada kanak-kanak.
Menjelaskan keputusan pembatalan itu, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan mengambil langkah tersebut selepas meneliti semula cadangan itu, termasuk mengambil kira kebimbangan bahawa ujian sedemikian berpotensi memberi kesan psikologi kepada kanak-kanak.
Jelas beliau lagi, cadangan awal tersebut mempunyai niat yang baik kerana bertujuan memperkenalkan sistem penilaian sebelum kanak-kanak memasuki alam persekolahan. Namun, ia dirasakan boleh bersifat diskriminatif.
Menurut beliau, pendekatan itu juga boleh menyebabkan kanak-kanak dianggap tidak layak atau kurang cerdik sebelum memasuki Tahun Satu atau prasekolah, sekali gus menjejaskan kesejahteraan emosi mereka.
“Oleh itu, ia kini dibatalkan. Ini adalah syor Menteri Pendidikan dan saya bersetuju,” ujarnya.