Gerakan tegur KPM, dakwa kerajaan kerap buat ‘pusingan U’ dasar

Iklan
Wendy (gambar kecil) berkata, keadaan itu seolah-olah menunjukkan kerajaan mengambil ringan terhadap dasar yang diumumkan apabila pengumuman dibuat terlebih dahulu sebelum ditarik balik

SHAH ALAM – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mempersoalkan tindakan kerajaan Madani yang didakwa kerap membuat perubahan atau ‘pusingan U’ terhadap pengumuman dasar penting, khususnya yang melibatkan kepentingan rakyat.

Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramaniam berkata, keadaan itu seolah-olah menunjukkan kerajaan mengambil ringan terhadap dasar yang diumumkan apabila pengumuman dibuat terlebih dahulu sebelum ditarik balik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan perlu menjalankan kajian terperinci serta menyediakan pelan pelaksanaan menyeluruh sebelum mengumumkan sesuatu dasar bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

"Gerakan menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengesahkan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju menarik balik ujian diagnostik khas kemasukan ke Tahun Satu bagi murid berusia enam tahun.

Iklan

"Pembatalan ujian diagnostik itu mencerminkan tindakan kerajaan yang didakwa tergesa-gesa dalam menangani dasar pendidikan tanpa persediaan yang mencukupi," ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya menjangkakan reaksi umum apabila sesuatu dasar diumumkan tanpa maklumat terperinci, kerana kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kewibawaan kerajaan.

Iklan

Selain itu, ujarnya, keadaan berkenaan turut menimbulkan kekeliruan serta tekanan emosi kepada ibu bapa yang perlu membuat keputusan berkaitan pendidikan anak-anak mereka.

Sehubungan itu, Wendy menekankan keperluan kerajaan mengutamakan kajian data, rundingan dengan pakar serta mengadakan dialog terbuka dengan semua pihak sebelum mengumumkan sebarang dasar, khususnya yang melibatkan sektor pendidikan.

Tambahnya, dasar yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa asas kukuh hanya akan mengundang kritikan dan menonjolkan kelemahan dalam pelaksanaannya.