KUALA LUMPUR – Lebih 130,000 notis saman telah dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sepanjang tahun lalu dengan kes memandu tanpa lesen mencatat jumlah tertinggi.
Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, sebanyak 137,192 notis saman telah dikeluarkan hasil pemeriksaan dan penguatkuasaan yang dijalankan sepanjang tahun lalu.
"Seramai 26,098 pemandu dikesan melakukan kesalahan memandu tanpa lesen (LDL, PDL dan CDL), sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah saman yang dikeluarkan.
“Kesalahan kedua tertinggi ialah tiada lesen kenderaan motor (LKM) atau cukai jalan tamat tempoh, melibatkan 21,277 kes, diikuti kesalahan tiada perlindungan insurans sebanyak 15,874 kes,” katanya pada sidang akhbar di Plaza Tol Sungai Besi di sini pada Selasa.
Menurutnya, JPJ WPKL turut merekodkan 11,424 kes penggunaan cermin gelap yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan, selain 7,978 kes lebihan muatan dan 5,924 kes kenderaan tidak didaftarkan.
"Dalam tempoh sama, sebanyak 176,536 kenderaan telah diperiksa dengan 46,119 kenderaan diambil tindakan, manakala 955 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan serius," katanya.
Hamidi berkata, antara kesalahan lain yang turut menunjukkan peningkatan ialah penggunaan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar serta ketidakpatuhan terhadap lampu isyarat merah, yang disifatkan mampu mengundang risiko kemalangan.
“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu yang mengabaikan undang-undang jalan raya. Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin,” tegasnya.