KLANG - Polis giat buru dua lelaki selepas tindakannya melarikan diri semasa kenderaan dinaiki hendak diperiksa dalam kejadian di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kejadian kira-kira jam 10 malam berlaku semasa anggota Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara terserempak sebuah Proton Wira dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, polis telah mengarahkan pemandunya berhenti, namun diingkari sebelum terus memecut laju bagi meloloskan diri.
"Suspek turut bertindak agresif dengan menyemburkan alat pemadam api ke arah kenderaan anggota MPV.
"Bagaimanapun kereta dinaiki suspek telah terbabas.
"Dua lelaki tempatan yang terlibat dalam insiden ini telah meloloskan diri, manakala Proton Wira yang ditinggalkan suspek telah dirampas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seks6en 186 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau andaian tidak berasas yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.
"Sebarang tindakan menggugat ketenteraman awam akan diambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang," ujarnya.