Selangor nafi tapak surau diambil jadi kuil - Mohammad Fahmi

Iklan
Mohammad Fahmi

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menegaskan bahawa dakwaan kononnya tapak surau diambil pemaju untuk dijadikan tapak kuil di kawasan pencerobohan tanah perkuburan Islam PJS4 adalah tidak benar dan mengelirukan orang ramai.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, semakan bersama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesahkan bahawa tapak yang didakwa sebagai ‘tapak ganti’ itu sememangnya dizonkan sebagai Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) dan tidak pernah dicadangkan sebagai tapak surau.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tohmahan melulu yang dibuat menerusi satu hantaran Facebook bertarikh 23 Januari lalu oleh seorang individu telah mencetuskan persepsi salah sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan netizen.

“Persepsi seolah-olah wujud tapak surau yang diambil pemaju untuk dijadikan tapak kuil India adalah tidak benar sama sekali.

Iklan

“Komen-komen netizen jelas menunjukkan kegusaran akibat maklumat yang tidak tepat ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohammad Fahmi menjelaskan, tapak RIBI berkenaan bukan tapak ganti kepada pencerobohan kuil, selain tidak pernah menjadi tapak surau yang ditukar fungsi.

Iklan

Sebaliknya, katanya, tapak tersebut masih perlu dipohon secara rasmi oleh pihak kuil kepada MBPJ dan PDT Petaling serta tertakluk kepada kelulusan agensi berkaitan sekiranya ingin diduduki secara sah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri sudah mempunyai perancangan, tindakan serta garis masa khusus bagi merobohkan binaan tidak sah di kawasan perkuburan Islam terbabit.

Jelas beliau, kerja-kerja tapak kubur yang telah lama tertangguh dijangka dapat dimulakan seawal Jun depan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Beliau turut meminta semua pihak, sama ada Islam atau bukan Islam, supaya bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan sentimen perkauman negatif.

“Biarlah agensi terlibat menjalankan tugas secara cermat dan teratur berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Terdahulu, seorang pemilik akaun media sosial menerusi ruangan komen pada hantaran Facebooknya mendakwa kononnya tapak surau telah ditukar menjadi tapak kuil di kawasan berkenaan.

Individu tersebut memuat naik kenyataan berbentuk sindiran dengan mendakwa perobohan yang dijadualkan pada 31 Mac tidak perlu diteruskan, sebaliknya kos berkaitan boleh ditanggung oleh JAIS.