56 keluarga Orang Asli Bukit Baja terima sumbangan awal penempatan semula

Iklan
Borhan (dua dari kanan) diiringi Md Kamarzan (kanan) menyerahkan cek sumbangan kepada salah seorang penerima di Galeri PKNS Cyber Valley pada Selasa.

SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah menyerahkan cek sumbangan kepada 56 keluarga Komuniti Orang Asli Bukit Baja (KOABB) di Dengkil, Sepang yang kediaman mereka terlibat dalam pelan penempatan semula.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, penyerahan sumbangan itu merupakan langkah awal pelaksanaan penempatan semula komuniti berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sumbangan tersebut susulan pengumuman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 9 Julai 2024 yang memaklumkan bahawa langkah pertama kerajaan negeri ialah mewartakan tanah seluas 72.8 hektar milik kerajaan negeri sebagai kawasan Perkampungan Orang Asli Bukit Baja yang selamat dan terjamin.

"Kerajaan negeri akan memastikan kebajikan serta kesejahteraan komuniti Orang Asli sentiasa diberi keutamaan, khususnya dalam proses penempatan semula yang dilaksanakan secara terancang dan berperingkat,” katanya semasa Majlis Penyerahan Cek Sumbangan di Galeri PKNS Cyber Valley di sini pada Selasa.

Iklan

Dalam pada itu, PKNS kini dalam perancangan untuk melaksanakan pembangunan penempatan semula di atas tanah seluas 4.4 hektar bagi 56 keluarga KOABB yang kini menghuni dalam kawasan pembangunan PKNS Cyber Valley.

Sebahagian daripada penerima bergambar semasa Majlis Penyerahan Cek Sumbangan di Galeri PKNS Cyber Valley pada Selasa.

Iklan

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS (Usaha Sama Strategik), Ir Md Kamarzan Md Rais berkata, cadangan pembangunan tersebut dibahagikan kepada dua zon utama bagi memastikan keperluan perumahan dan kemudahan komuniti dapat disediakan secara menyeluruh.

Menurutnya, seluas 2.5 hektar diperuntukkan bagi pembinaan 56 unit rumah sesebuah setingkat berkeluasan 1,000 kaki persegi, manakala baki 1.04 hektar akan dibangunkan dengan kemudahan sokongan komuniti.

Jelas beliau, kemudahan itu merangkumi balai raya, tadika, ruang rawatan, pejabat Tok Batin dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), surau serta tiga unit lot kedai.

"Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan projek penempatan semula itu, PKNS telah mengadakan sesi libat urus bersama komuniti KOABB pada 5 Oktober tahun lalu bagi penyerahan surat tawaran penempatan semula," tambahnya.

Menurut beliau, tawaran yang dikemukakan merangkumi pembinaan sebuah rumah sesebuah setingkat, bayaran RM7,000 bagi kos pemindahan dan perobohan rumah sedia ada, saguhati berjumlah RM100,000 serta pampasan sehingga RM200,000 bagi setiap satu ekar tanaman semasa.

"PKNS turut menyalurkan sumbangan Tabung Komuniti KOABB berjumlah RM3 juta sebagai sokongan kepada pembangunan dan kebajikan komuniti berkenaan,” katanya.

Md Kamarzan menegaskan, PKNS komited memastikan proses penempatan semula KOABB dilaksanakan secara teratur dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor serta semua pihak berkaitan.

"Pelaksanaan projek ini mencerminkan peranan PKNS sebagai pemangkin pembangunan inklusif yang mengambil kira kepentingan komuniti asal dalam pembangunan kawasan baharu seperti Cyber Valley," tambah beliau.