KLANG - Seorang lelaki yang ditinggalkan isteri terpaksa mengambil risiko membawa pulang bayinya berusia tiga bulan ke Indonesia dengan meredah lautan menaiki bot pom-pom yang diuruskan sindiket.
Cubaan itu bagaimanapun dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor yang bertindak menahan bot terbabit di kedudukan kira-kira dua batu nautika barat daya perairan Bagan Nahkoda Omar, Sabak Bernam pada Isnin.
Semasa ditemu bual oleh Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, lelaki dikenali sebagai Dayat berasal Aceh itu mendakwa isterinya yang juga warga Indonesia telah meninggalkan dia dan anaknya itu sejak tujuh hari lalu.
"Saya pulang kerja lihat anak sudah sendirian di rumah.
"Kami tiada apa-apa masalah, tapi ada nota yang ditinggalkan isteri beritahu 'kalau tidak mahu jaga anak, berilah pada keluarga'," kata pekerja cuci kenderaan itu.
Dia yang menetap di Gombak berkata, isterinya bekerja di salun di Setapak, Kuala Lumpur.
Kata lelaki berusia lingkungan 30-an itu, dia terpaksa ambil keputusan berkenaan kerana kasihankan anak yang dilahirkan di hospital swasta itu.
"Saya pening, tidak tahu hendak buat apa. Saya bayar RM1,400 kepada ejen untuk pulang ke rumah kakak di Aceh. Saya pangku... gendong anak masa dalam bot biar dia tidak nangis," katanya.
Sementara itu, Abdul Muhaimin berkata, bot pom-pom dikendalikan seorang tekong dan dua awak-awak Indonesia itu ditahan kira-kira jam 2 pagi ketika hendak keluar dari Malaysia.
Menurutnya, pemeriksaan menemui 24 PATI terdiri daripada 19 lelaki dan lima wanita berusia lingkungan 22 hingga 64 tahun serta seorang bayi perempuan berusia tiga bulan.
"Kesemua PATI gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
"Dipercayai PATI ini dikenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,500 setiap seorang bergantung kepada jarak penghantaran," ujarnya.
Tambahnya, Maritim Malaysia juga tidak tolak kemungkinan sindiket mula aktif menjelang musim perayaan tidak lama lagi.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkenaan jenayah di laut kepada Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 013-6606652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.