Tiga kampung Indonesia: Rundingan ambil kira keadaan di lapangan - Mohamad

Iklan
Mohamad berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sendayan pada Isnin. Foto Bernama

SEREMBAN - Malaysia masih mengadakan rundingan dengan Indonesia dalam mencari penyelesaian berhubung isu tiga kampung di negara itu yang dilaporkan kini termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara kedua-dua negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, proses rundingan mengambil kira keadaan sebenar di lapangan tanpa menjejaskan kehidupan penduduk sedia ada di kawasan itu.

Iklan
Iklan

"Apa yang ada di atas peta dan apa yang ada di lapangan itu berbeza.

"Seperti kita sedang berunding dengan Brunei sekarang ini, kalau ikutkan garisnya lurus saja, tapi banyak orang Brunei masuk kawasan kita dan orang Malaysia masuk kawasan Brunei," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sendayan di sini pada Isnin.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan penyesuaian sempadan akan dilakukan bagi memastikan garis sempadan lebih fleksibel dan mengikut realiti penempatan sedia ada.

Ini kerana katanya, sesetengah kawasan yang terlibat telah diterokai serta didiami sekian lama sehingga membentuk perkampungan tetap.

Iklan

"Tapi kita mengikut undang-undang dan kalau ikutkan garisnya lurus saja.Tapi nanti boleh berlaku rumah terbelah dua, depan rumah di Malaysia, belakang di Indonesia.

"Kita tidak mahu perkara seperti itu berlaku kerana realiti sebenar di bawah itu perlu diambil pertimbangan, tapi belum dimuktamadkan," katanya.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, jawatankuasa teknikal telah diarah membuat kajian, tetapi pengakhirannya nanti pemimpin kedua-dua negara akan ada persetujuan bersama.

"Bersabarlah, supaya akhirnya kedua-dua pihak akan rasa selesa untuk kita capai kata sepakat untuk kita harmonikan sempadan bersama kedua-dua buah negara," katanya.