Padah buang puntung rokok, lelaki warga Indonesia didenda RM300

Iklan
Jufri (tengah) diiringi anggota penguat kuasa SWCorp dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Isnin.

ALOR SETAR – Seorang lelaki warga Indonesia mengaku bersalah atas pertuduhan membuang sisa pepejal, iaitu puntung rokok, di tempat awam pada awal Januari lalu.

Tertuduh, Jufri Zulkifli, 39, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin.

Iklan
Iklan

Buruh binaan itu yang berkahwin dengan warga tempatan menjadi individu pertama di Kedah didakwa atas kesalahan tersebut dan dikenakan denda RM300 serta diarahkan menjalani perintah khidmat masyarakat selama enam jam.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Iklan

Mengikut pertuduhan, Jufri didakwa membuang sisa pepejal berupa puntung rokok ke dalam longkang dan bukan di bekas yang disediakan di sekitar Menara Alor Setar, kira-kira jam 12.10 tengah malam pada 1 Januari lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 serta perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam, jika sabit kesalahan.

Iklan

Berdasarkan fakta kes, pengadu, Muhammad Salman Md Yusoff yang bertugas sebagai Pembantu Penguat Kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Alor Setar, sedang menjalankan operasi penguatkuasaan sampah kecil di sekitar kawasan berkenaan.

Semasa operasi dijalankan, pasukan penguat kuasa mendapati tertuduh dengan sengaja membuang puntung rokok yang berada di tangannya ke dalam longkang berhampiran Menara Alor Setar sebelum laporan aduan dibuat.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SWCorp, Nur Idayu Syazwani Mohd Arif, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal termasuk perintah khidmat masyarakat agar menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak membuang sampah sewenang-wenangnya.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman diringankan dengan alasan hanya bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan sekitar RM80 sehari, selain perlu menanggung tiga orang anak.

Mahkamah selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, menjatuhkan hukuman denda RM300 dan perintah khidmat masyarakat selama enam jam.

Tertuduh membayar denda berkenaan di kaunter Mahkamah Alor Setar dan akan menjalani perintah khidmat masyarakat dalam masa terdekat.