KUALA LUMPUR – Siasatan berkaitan dua laporan polis yang dibuat oleh bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan terhadap aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Chegubard, telah diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya telah menerima laporan polis berkenaan pada Isnin.
Iklan
Iklan
“Saya mengesahkan ada menerima laporan tersebut. Isi kandungan dan siasatan telah diambil alih oleh USJT JSJ Bukit Aman,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Hafizuddeain membuat dua laporan polis susulan dakwaan pendedahan maklumat peribadi dan tuduhan tidak berasas.
Peguam kepada Hafizuddeain, Aizul Rohan Anuar dilaporkan berkata, anak guamnya mendakwa Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard telah memuat naik satu hantaran berkaitan maklumat perbankan di laman sosial Facebook pada 19 Disember tahun lalu.
Hafizuddeain tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama peguamnya itu pada jam 12.30 tengah hari untuk membuat laporan polis.
Aizul berkata, dalam satu lagi laporan, Hafizuddeain turut membuat laporan berhubung dakwaan bahawa beliau memiliki serta memakai jam tangan mewah berjenama Patek Philippe.