SHAH ALAM – Aplikasi peta AMap yang dibangunkan di China didakwa memaparkan garisan tuntutan 'Nine Dash Line' yang dilihat mencabar kedaulatan sempadan perairan negara.
Bekas Jurulatih Penerbangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Ezairol Rezan Zainol berkata, ini merupakan satu cara halus pihak tertentu dari China meletakkan agenda mereka melalui aplikasi yang dibina dan ia bukan perkara remeh.
Menurutnya, walau sehebat atau sebaik mana aplikasi tersebut, kedaulatan negara perlu diutamakan.
“Aku mula-mula pun teruja juga, ingat nak pasang dan cuba. Tapi lepas tengok dalam peta AMap dengan jelas ada garisan 'Nine Dash Line', aku batalkan hasrat.
“Dari perkongsian ramai yang aku baca di ruangan komen, aplikasi AMap memang tepat, tapi hanya bila digunakan di dalam negara China sahaja. Bab tepat atau tidak, itu nombor dua. Namun perkara paling penting dan utama di sini ialah kewujudan 'Nine Dash Line' yang mereka sengaja letakkan dalam aplikasi itu.
“Aku tidak akan sokong. Bagi aku, aplikasi AMap secara halus mencabar kedaulatan negara yang pernah aku jaga dan lindungi dulu. Ini bukan perkara main-main. Kesetiaan kepada negara adalah lebih utama,” ujarnya menerusi hantaran di laman Facebook.
Tambah Mohd Ezairol, perkara itu bukan sekadar isu aplikasi tetapi satu ancaman 'territorial claims establishment' yang dimulakan dan cuba ditanam kepada generasi muda masa kini.
Jelasnya, aplikasi itu secara tersirat seolah-olah mengiktiraf tuntutan China terhadap sempadan perairan negara.
“Bayangkan jika berjuta rakyat Malaysia, Filipina, Vietnam dan Indonesia yang memuat turun aplikasi ini. Tidak mustahil, 20 hingga 30 tahun dari sekarang, golongan yang tidak mahu belajar sejarah akan menganggap 'Nine Dash Line' itulah sempadan negara China.
“Boleh lihat peta dalam aplikasi AMap itu. Beting Serupai dinamakan Zengmu Ansha manakala Kepulauan Spratly dinamakan sebagai Nansha Qundao.
“Semuanya kerana kita diam dan kita 'endorse' aplikasi negara mereka yang secara sengaja mencabar kedaulatan sempadan perairan kita,” tegasnya.
Beliau turut berharap agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengharamkan aplikasi AMap di Malaysia.
“Ini jelas mencabar kedaulatan negara kita.
“Mungkin kata-kataku ini bunyinya agak keras, tapi satu aku nak ingatkan, jangan sampai kita diperbodohkan dan menjadi ‘pengkhianat’ kepada tanah air sendiri,” katanya.
Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada MCMC berhubung perkara ini.