Malaysia sapu bersih acara beregu, cipta sejarah luar biasa di Indonesia

Iklan
Sze Fei dan Nur Izzuddin menundukkan wakil tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin. Foto AFP

SKUAD badminton negara melakar sensasi luar biasa di Istora Senayan, Jakarta apabila menyapu bersih kesemua gelaran juara bagi kategori beregu pada kejohanan Masters Indonesia pada Ahad.

Kejayaan manis itu cukup bermakna apabila ia turut melakar sejarah baharu yang menyaksikan tiga gelaran juara diraih serentak oleh pemain Malaysia dalam satu kejohanan jelajah dunia.

Iklan
Iklan

Ia disambut gembira oleh rata-rata peminat sukan tanah air yang membanjiri ruangan komen di media sosial.

Ramai yang menyifatkan pencapaian ini sebagai sesuatu yang sukar dipercayai namun membanggakan.

Iklan

"Sukar dipercayai tetapi ianya realiti, syabas kekalkan momentum ini," tulis seorang peminat.

Malah, ketenangan pemain negara berdepan suasana bingit di Istora Senayan turut mendapat pujian.

Iklan

"Apa-apa pun kelebihan memang ada pada team Malaysia walaupun sorakan padu tuan rumah sedikit pun tak bagi apa-apa kesan dekat pemain Malaysia.

"Corak permainan yang bersahaja dan cool seolah-olah tiada apa-apa tekanan langsung," ulas seorang lagi netizen.

Seorang lagi peminat turut menzahirkan rasa syukur dengan pencapaian bersih wakil negara di pentas final.

"Semua finalis Malaysia menang. Tahniah," ujarnya.

Pesta kejayaan kem negara bermula gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang mempamerkan semangat juang tinggi menundukkan wakil Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje dalam pertarungan sengit tiga set.

Kemudian, beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M Thinaah dinobatkan sebagai juara Masters Indonesia tanpa perlu memerah keringat.

Ia susulan gandingan Jepun, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi terpaksa menarik diri daripada aksi final di Istora Senayan, sekaligus memberikan kemenangan percuma kepada pasangan negara.

Melengkapkan hari gemilang Malaysia di Jakarta menerusi pasangan beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani.

Gandingan itu tidak berdepan masalah menundukkan wakil tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin dengan keputusan 21-19, 21-13 dalam pertarungan selama 37 minit.