PENGENDALI Liverpool, Arne Slot menyalahkan faktor keletihan sebagai punca utama kekalahan pertama pasukannya dalam 14 perlawanan selepas Amine Adli meledak gol kemenangan dramatik buat Bournemouth pada Sabtu.
Jaringan lewat Adli pada minit ke-95 itu memastikan kemenangan 3-2 milik The Cherries, sekali gus merentap kebangkitan The Reds yang sebelum itu berjaya menyamakan kedudukan.
Kekalahan itu menyaksikan Liverpool kini gagal melakar sebarang kemenangan dalam lima aksi terakhir Liga Perdana Inggeris dan menjadi tamparan hebat kepada harapan mereka untuk mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.
Nasib Liverpool di kancah domestik nyata berbeza dengan prestasi Eropah mereka apabila skuad kendalian Slot baru sahaja melangkah ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara selepas membenam Marseille 3-0 pada Rabu lalu.
Slot mengakui tempoh rehat yang singkat serta pilihan pemain yang terhad akibat krisis kecederaan menyebabkan pasukannya tidak bermaya.
“Mereka (Bournemouth) mungkin memiliki lebih banyak peluang berbanding kami pada 10 minit terakhir, dan itu tidak mengejutkan saya memandangkan kami baru sahaja beraksi di Marseille dua hari lalu.
“Untuk empat hingga 10 perlawanan terakhir, kami terpaksa menurunkan pemain yang sama disebabkan ketersediaan pemain yang ada. Kadangkala sebahagian daripada mereka akan kelihatan agak kepenatan di penghujung perlawanan.
"Saya rasa itulah apa yang dapat anda saksikan pada aksi hari ini," katanya.
Dalam aksi di Stadium Vitality itu, Liverpool bangkit mengikat kedudukan selepas ketinggalan 0-2 menerusi jaringan Virgil van Dijk dan Dominik Szoboszlai ketika permainan berbaki 10 minit, namun dikecewakan pada saat akhir.
Masalah The Reds bertambah parah apabila Joe Gomez terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan, memaksa pemain tengah, Wataru Endo bertindak sebagai bidan terjun di bahagian pertahanan tengah.
Liverpool sebelum itu sudah kehilangan Ibrahima Konate yang bercuti akibat kematian bapanya, manakala Giovanni Leoni terpaksa disisihkan sehingga akhir musim akibat kecederaan ligamen lutut.
Slot turut memasukkan Andy Robertson pada separuh masa kedua walaupun terdapat spekulasi kencang bahawa kapten Scotland itu bakal menyertai Tottenham sebelum jendela perpindahan ditutup.
Robertson yang kini hanya berbaki enam bulan dalam kontraknya dilaporkan mahu mencari lebih banyak minit permainan selepas jatuh di belakang Milos Kerkez dalam senarai pilihan di Anfield.
Namun, Slot menegaskan beliau memerlukan khidmat setiap pemain ketika ini.
"Saya perlukan semua pemain saya. Robbo (Robertson) perlu masuk pada separuh masa kerana saya tahu membiarkan Milos bermain 90 minit lagi menentang pasukan Bournemouth yang intensiti tinggi adalah mustahil.
"Terdapat banyak perlawanan yang perlu diharungi dan dengan pemain yang ada, saya perlu menguruskannya sebaik mungkin," ujarnya.