SHAH ALAM – Pemuda UMNO mencabar Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad, susulan kenyataannya yang memberi amaran kemungkinan berlaku pertandingan tiga penjuru sekiranya tiada persetujuan dicapai dalam agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad, menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mengeluarkan sebarang amaran politik kerana UMNO bersedia untuk berhadapan secara terbuka dalam sebarang kemungkinan.
“Tidak perlu acah-acah nak bagi amaran. Ingat kami ini siapa, nak bagi amaran bagai? Lawan saja, sembang apa,” katanya dalam kenyataan ringkas di media sosial.
Kenyataan Akmal itu dipercayai merujuk kepada laporan Sinar Harian yang memetik Khalid sebagai berkata, Amanah memberi amaran bahawa pertandingan tiga penjuru mungkin berlaku sekiranya tiada kesepakatan dicapai dalam rundingan agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Dalam laporan sama, Khalid turut dilaporkan menuntut agar agihan kerusi dibuat secara lebih seimbang dan adil, dengan mengambil kira realiti politik semasa di Melaka dan Johor.
Isu agihan kerusi dalam kalangan parti-parti politik terus menjadi perhatian menjelang PRN, khususnya dalam konteks kerjasama antara gabungan parti serta rakan strategik masing-masing.
Reaksi tegas Pemuda UMNO itu dilihat sebagai isyarat jelas terhadap sebarang tekanan atau desakan yang dikeluarkan dalam proses rundingan politik antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menjangkakan PRN Melaka akan diadakan dalam tempoh dua hingga 10 bulan dari sekarang.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata pemimpin UMNO negeri perlu bekerja keras untuk mempertahankan pencapaian mereka selepas memenangi lebih tiga perempat kerusi pada PRN sebelum ini.