Parti teras termasuk MIC diharap bantu perkukuh BN - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid. Foto Bernama

BAGAN DATUK – Barisan Nasional (BN) berharap parti-parti teras dalam gabungan itu dapat terus diperkukuhkan bagi memastikan kestabilan serta kekuatan politik parti berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN menghormati pendirian dan keputusan setiap parti komponen dalam gabungan tersebut termasuk MIC, yang merupakan antara parti teras sejak era Parti Perikatan bersama UMNO dan MCA.

Iklan
Iklan

"Kami dalam BN berpendirian bahawa setiap parti gabungan khususnya parti teras, saling menghormati antara satu sama lain. Apa pun keputusan yang akan dibuat oleh MIC, itu adalah hak dan pendirian parti berkenaan.

"Namun, kita merasakan dengan adanya lima buah parti teras dalam BN, termasuk kemasukan semula PPP (Parti Progresif Penduduk Malaysia) selepas keputusan mahkamah dan Pendaftar Pertubuhan (ROS), maka struktur gabungan ini perlu terus diperkukuhkan,” katanya kepada pemberita.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Taman Industri QL Innofood Park, Hutan Melintang di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Iklan

Ahmad Zahid berkata, MIC kekal sebagai parti teras yang mempunyai sejarah panjang dalam pembentukan gabungan politik negara, justeru diharapkan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh BN.

"Kita tidak mahu campur tangan dalam urusan dalaman mana-mana parti, termasuk MIC.

"BN mempunyai keyakinan bahawa mereka akan membuat keputusan yang tepat dan terbaik, bukan sahaja untuk parti mereka, tetapi juga untuk kepentingan gabungan Barisan Nasional,” katanya Presiden UMNO itu.

Pada Sabtu, media melaporkan MIC akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan penyertaan rasmi parti itu ke dalam Perikatan Nasional (PN).

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, walaupun PN sudah memberi lampu hijau kepada MIC untuk menyertai gabungan pembangkang itu penyertaan perlu dilaksanakan mengikut proses rasmi.