SHAH ALAM - Pas diminta bersikap 'tabayyun' iaitu menyelidik atau menyiasat daripada membuat tuduhan melulu berhubung cadangan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah agar tiga bekas wakil rakyat parti itu diterima semula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meskipun berstatus Bebas.
Berdasarkan pertemuan bersama pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, baru-baru ini, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengesahkan bahawa tiada sebarang kenyataan atau cadangan daripada Abu Bakar yang bertujuan mencampuri urusan parti tersebut.
Menurut beliau, cadangan itu sebaliknya dibuat adalah berkaitan aspek pentadbiran negeri khususnya pengagihan peruntukan dan kebajikan rakyat di kawasan Chuping, Bintong dan Guar Sanji.
"Dimaklumkan bahawa cadangan ini juga dibuat selepas merujuk Penasihat Undang-Undang Negeri.
"Akibat pengumuman kekosongan kerusi DUN oleh Speaker, tiga ADUN ini telah membawa kes ini ke mahkamah dan ia menyebabkan kedudukan mereka tergantung sehingga diputuskan oleh mahkamah," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mengingatkan Menteri Besar Perlis supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab mentadbir negeri dan tidak mencampuri urusan parti lain selepas tiga bekas ADUN Pas terhenti keahlian kerana melanggar disiplin parti seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Pas.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, cadangan yang didengari dan difahami antaranya adalah keperluan mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan kestabilan politik negeri dan kebajikan rakyat terus terpelihara.
"Cadangan menerima semula ADUN berkenaan meskipun berstatus Bebas adalah kerana mereka masih mempunyai mandat dan hak sebagai wakil rakyat untuk menjaga kebajikan penduduk di kawasan masing-masing.
"Perkara ini tiada kaitan dengan tindakan Pas terhadap ahli-ahli mereka. Hal Pas untuk menggugurkan atau memecat ahli mereka adalah urusan parti dan cadangan ini adalah bagi menentukan kedudukan tiga ADUN bagi membolehkan mereka berkhidmat kepada rakyat dalam kawasan masing-masing," katanya.
Selain itu, Tun Faisal berkata, Abu Bakar turut mencadangkan pendekatan 'menang-menang' dan perbincangan secara 'adik-beradik'.
"Ia merujuk ketiga-tiga ADUN akan menarik balik saman mereka terhadap Speaker dan Speaker menarik semula keputusan mengenai kekosongan kerusi bagi manfaat rakyat dalam kawasan DUN terbabit.
"Sekiranya cadangan penyelesaian ini tidak dapat dilaksanakan, Menteri Besar akan menubuhkan Pusat Khidmat Menteri Besar di tiga DUN berkenaan bagi membantu rakyat khususnya dari segi penyaluran bantuan dan urusan kebajikan," katanya lagi.
Tambah beliau, sebagai pemimpin Islam, lebih baik bertabayyun dan mencari maklumat yang tepat sebelum membuat tuduhan melulu serta menjauhkan diri daripada mendatangkan fitnah.