KUALA TERENGGANU – Kumpulan Orang Asli (OA) yang menetap di Hutan Simpan Bukit Bauk berhampiran Kampung Durian Mentangau, Dungun bukan berasal daripada penempatan tetap di situ sebaliknya berpindah sementara dari kampung asal mereka di Sungai Pergam, Kemaman untuk bekerja.
Bekas Pensyarah Antropologi Sosial (Etnografi Orang Asli), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Ramle Abdullah berkata, mereka berpindah bersama keluarga ke kawasan itu untuk bekerja di sebuah kebun durian Musang King.
Menurutnya, masyarakat OA berkenaan sememangnya mempunyai kampung asal yang sah di Sungai Pergam yang telah digazetkan sebagai Tanah Rizab Orang Asli (TROA) dilengkapi dengan hak milik kekal serta geran tanah.
"Mereka ada rumah di Sungai Pergam, ada ladang sawit dan getah yang diusahakan di atas tanah milik sendiri dengan keluasan 836 hektar. Tanah itu diberikan oleh kerajaan negeri ketika zaman bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.
"Mereka juga mempunyai pendapatan tetap hasil ladang tersebut," katanya yang kini berkhidmat di Pusat Pengajian Siswazah Kolej Universiti Bestari (UCB).
Beliau yang telah menjalankan kajian dan bersama komuniti Orang Asli sejak 1986 menjelaskan, penempatan rasmi Orang Asli di Terengganu hanya melibatkan tiga kampung yang telah diiktiraf dan digazetkan seperti disahkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), sekali gus menafikan dakwaan bahawa wujud penempatan baharu di Durian Mentangau.
"Disebabkan jarak dari Sungai Pergam ke Durian Mentangau kira-kira sejam perjalanan melalui lebuh raya, mereka membina tempat tinggal sementara bagi memudahkan urusan kerja.
"Tabiat mereka, apabila bekerja, akan membawa bersama anak isteri berpindah untuk tinggal bersama-sama," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.
Bagaimanapun, Ramle berkata, anak-anak Orang Asli yang sebelum ini bersekolah di Sungai Pergam tidak lagi dapat meneruskan persekolahan apabila keluarga mereka berpindah sementara ke Durian Mentangau.
Justeru, beliau menyatakan tiada isu berkaitan penolakan atau keengganan untuk berpindah selepas kerajaan negeri meminta berbuat demikian kerana mereka perlu kembali ke kampung halaman asal di Sungai Pergam.
"Pada saya, isu ini dapat diselesaikan sekiranya pihak syarikat yang mengambil mereka bekerja di Durian Mentangau dapat menyediakan kemudahan seperti pengangkutan atau tempat tinggal yang sesuai supaya mereka tidak berdepan masalah untuk berulang alik ke tempat kerja.
"Yang sepatutnya datang bekerja hanyalah ketua keluarga, manakala ahli keluarga lain sepatutnya kekal tinggal di kampung asal mereka," jelasnya.
Beliau berkata, kebimbangan yang timbul adalah jika situasi itu dibiarkan, kawasan berkenaan boleh dituntut sebagai kampung baharu sedangkan mereka sudah mempunyai penempatan rasmi.
"Pada peringkat awal mereka sudah ada kampung. Kita tidak mahu isu ini menjadi masalah lebih besar pada masa akan datang apabila mereka isytihar kawasan itu sebagai penempatan mereka.
"Pada pandangan saya, rumah yang telah dibina itu perlu juga dipindahkan ke kampung asal di Sungai Pergam sekali gus dapat menyelamatkan ia daripada dirobohkan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menjelaskan kebanyakan OA di Durian Mentangau berasal daripada suku Jakun dari Pahang.
"Sejarah bermula apabila seorang Tok Batin di Sungai Pergam berkahwin dengan wanita suku Jakun dari Pahang.
"Apabila beliau pulang, anak-anak mereka dibawa bersama dan komuniti Jakun itu akhirnya menetap di Sungai Pergam sebelum sebahagiannya berpindah sementara ke Durian Mentangau untuk bekerja," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 51 penghuni daripada 14 keluarga Orang Asli di situ berdepan tindakan pengusiran selepas menerima notis daripada Pejabat Tanah Dungun pada 15 Julai 2025 untuk mengosongkan tanah kerajaan negeri yang didiami sejak 2016.
Wakil penduduk, Anuar Bakung, 58, dilaporkan berkata, penduduk daripada suku Semoq Beri, Jakun dan Temiar yang mencari rezeki melalui hasil hutan di situ kini hidup dalam kebimbangan mengenai masa depan keluarga masing-masing sekiranya diarahkan berpindah dalam tempoh terdekat.