INDOENSIA telah menarik diri daripada menjadi tuan rumah Kejohanan Badminton Remaja Dunia BWF 2026 yang dijadual berlangsung pada Oktober depan di Solo, Jawa Tengah.
Ketua Hubungan Luar Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Bambang Roedyanto berkata keputusan itu dibuat selepas siri penilaian dan perbincangan dalaman dilakukan, lapor Agensi Berita ANTARA pada Sabtu.
"Pemulangan hak penganjuran Kejohanan Badminton Remaja Dunia BWF 2026 merupakan satu keputusan yang sukar. Bagaimanapun, ia diambil selepas pertimbangan yang sangat teliti dan perbincangan dalaman yang komprehensif, dengan mengutamakan kepentingan terbaik semua pihak serta kelestarian penganjuran kejohanan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Meskipun menarik diri sebagai tuan rumah, Bambang berkata PBSI kekal komited terhadap pembangunan sukan badminton dunia dan hubungan kerjasama dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan diteruskan.
"PBSI kekal komited sepenuhnya untuk menyokong semua program dan kejohanan antarabangsa yang dianjurkan oleh BWF.
Hubungan baik dan kerjasama yang telah terjalin akan terus dikekalkan sebagai asas sumbangan Indonesia kepada pembangunan badminton dunia,” katanya.
PBSI turut memohon maaf kepada BWF dan semua pihak berkepentingan atas sebarang kesulitan yang timbul akibat penarikan diri itu.
Sementara itu, ANTARA melaporkan bahawa BWF kini sedang berusaha untuk melantik tuan rumah baharu bagi memastikan kejohanan itu berjalan mengikut perancangan susulan penarikan diri PBSI.
Menurut laman sesawang rasmi BWF, proses bidaan bagi Kejohanan Remaja Dunia 2026 kini telah dibuka semula. - Bernama