Piala Malaysia - Berikan aksi terbaik walau miliki bekal selesa

Iklan
Munoz.

BIARPUN membawa bekalan selesa dan hampir pasti layak ke suku akhir, namun pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz tetap mengingatkan kesebelasan pemain agar memberikan aksi terbaik pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia berdepan PDRM FC di Stadium Sultan Ibrahim, pada Sabtu.

Katanya, bekal selesa hasil kemenangan 10-1 pada aksi pertama pusingan 16 di venue sama Ahad lalu, wajar dimanfaatkan sebaiknya barisan pemain Harimau Selatan bagi meneruskan momentum kemenangan.

Iklan
Iklan

"Apa yang saya boleh katakan, kita bermula dengan baik pada aksi pertama lalu dan ia perlu diteruskan kerana baki 90 minit kelak menjadi penentu untuk JDT mara ke suku akhir.

"Malah, selaku juara bertahan kita pemain perlu terus beraksi dengan konsisten selain mengelak daripada membuat sebarang kesilapan yang mampu mengundang padah.

Iklan

"Justeru, untuk aksi kedua nanti, pemain perlu terus kekal konsisten dari seawal minit pertama sehingga tamat perlawanan dengan mengikut pendekatan taktikal yang dirancang," katanya menjelang perlawanan.

Munoz juga tidak menolak kemungkinan bakal menurutkan pemain yang kurang mendapat minit permainan dalam kesebelasan utama.

Iklan

Katanya, walaupun objektif utama pasukan adalah untuk melakar kemenangan pada perlawanan ini, namun pemain-pemain berkenaan berhak diberikan peluang beraksi.

"Bagi saya, mereka ini telah bekerja keras dalam sesi latihan dan sewajarnya mereka diberikan peluang untuk beraksi," katanya.

Sementara itu, Munoz turut berazam memastikan JDT mengekalkan rekod tanpa bolos pada aksi kedua menentang skuad The Cats.

Katanya, ini setelah pintu gol skuad Harimau Selatan telah dibolosi pemain PDRM FC pada aksi pertama pusingan 16 lalu.

"Perkara ini tidak harus berulang kerana pemain perlu lebih peka dan tidak bersikap alpa pada perlawanan itu nanti.

"Setiap pemain yang diturunkan jua perlu mempamerkan karakter yang positif dan memiliki semangat juang tinggi bagi memastikan mentaliti pemain lebih terarah memburu keputusan kemenangan," katanya.