Maryam Al Khawla dikebumi sebelah pusara abang

Iklan
Mohd Fikry (kiri) di samping pusara dua anaknya Al Fateh dan Maryam Al Khawla.

ALOR GAJAH – Jenazah bayi, Maryam Al Khawla Mohd Fikry Amri selamat dikebumikan bersebelahan pusara abangnya, Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri di Tanah Perkuburan Islam Pusara Abadi di sini sekitar jam 3.30 petang pada Sabtu.

Maryam Al Khawla merupakan bayi kedua daripada kembar tiga kepada pasangan Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 41, dan Sabrina Hakiem Zaini, 41, yang meninggal dunia pada jam 7.20 pagi Sabtu di Hospital Melaka selepas 90 hari bayi pramatang itu bertarung nyawa.

Iklan
Iklan

Terdahulu, solat jenazah diadakan di kediaman keluarga di Taman Kelemak Utama di sini sekitar jam 3 petang sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Mohd Fikry bersama isteri membawa jenazah Maryam Al Khawla ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Iklan

Bapa kepada bayi berkenaan, Mohd Fikry ketika ditemui berkata, beliau dan isteri reda dengan ketentuan Ilahi serta menganggap ujian berat yang dihadapi itu menjadikan mereka terus kuat.

“Saya dan isteri pasrah dengan segala yang berlaku. Ujian ini sangat berat, namun insya-ALLAH kami mampu menempuhinya. Saya percaya setiap ujian ini ada hikmah dan menjadi asbab untuk kami terus kuat.

Iklan

“Saya yakin arwah anak saya, Maryam Al Khawla dan juga Muhammad Al Fateh Amri, akan memimpin kami ke syurga nanti. Kiri dan kanan kami akan ada anak-anak syurga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Mohd Fikry memangku Maryam Al Khawla ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Berkenaan keadaan isterinya, beliau berkata, emosi isterinya berada dalam keadaan baik dan semakin kuat kerana pernah melalui pengalaman kehilangan anak sebelum ini.

Bercerita lanjut mengenai Maryam Al Khawla beliau berkata, keadaan kesihatan anaknya itu mula kritikal pada Isnin lalu selepas doktor memaklumkan bayi tersebut dijangkiti kuman.

“Hari Jumaat minggu lalu kami melawat dan keadaannya stabil. Sabtu serta Ahad kami tidak datang. Isnin saya menerima panggilan doktor memaklumkan keadaannya tenat dan semakin hari makin teruk sehingga sampai ajalnya.

Mohd Fikry (kiri) di samping pusara dua anaknya Al Fateh dan Maryam Al Khawla.

“Kami dimaklumkan Khawla mengalami jangkitan kuman yang agresif sehingga merebak dengan pantas dan merosakkan beberapa organ dalaman termasuk hati,” katanya.

Bayi kembar tiga itu iaitu Maryam Al Lubna (1.8 kilogram), Maryam Al Khawla (1.78 kilogram) dan Maryam Al Arwaa (1.93 kilogram) dilahirkan pramatang di Hospital Melaka pada 24 Oktober 2025.

Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata perempuan menerusi rawatan kesuburan in vitro fertilisation (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang diasaskan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ketiga-tiga bayi berkenaan berada di bawah pengawasan doktor, dengan Maryam Al Khawla ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk pemantauan lebih teliti.

Mohd Fikry (kanan) menyiram air di pusara anaknya, Maryam Al Khawla.

Dua lagi bayi, Maryam Al Lubna dan Maryam Al Arwaa, ditempatkan di Special Care Nursery (SCN) atau Wad Rawatan Khas Bayi dan menunjukkan perkembangan positif selepas kelahiran secara pembedahan caesarean berikutan risiko kandungan kembar tiga.

Sebelum ini, kisah pasangan berkenaan turut mendapat perhatian negara susulan tragedi kematian anak lelaki mereka, Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri, ketika berada dalam jagaan pengasuh di sebuah taska di Taman Kelemak Utama, di sini, pada September 2024.

Tragedi berkenaan mengundang simpati rakyat Malaysia terhadap pasangan itu yang kehilangan anak lelaki berusia lapan bulan selepas menanti kehadiran cahaya mata selama 13 tahun.