Maryam Al Khawla, bayi kembar tiga meninggal dunia

Iklan
Mohd Fikry dan Sabrina memeluk anak syurga, Maryam Al Khawla.

MELAKA - Bayi kedua daripada kembar tiga pasangan Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 41, dan Sabrina Hakiem Zaini, 41, meninggal dunia selepas 90 hari bayi pramatang itu bertarung nyawa di Hospital Melaka.

Mohd Fikry menerusi mesej ringkas di WhatsApp memaklumkan Maryam Al Khawla menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.20 pagi di hospital berkenaan pada Sabtu.

Iklan
Iklan

“Dukacita dimaklumkan anak syurga saya, Maryam Al Khawla, telah meninggal dunia pada jam 7.20 pagi di Hospital Melaka pada 24 Januari 2026, genap usianya tiga bulan.

“ALLAH SWT lebih menyayanginya,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Pada Khamis, Mohd Fikry memaklumkan bayi berkenaan berada dalam keadaan tenat dan semakin lemah susulan bacaan kuning yang meningkat dua kali ganda berbanding hari sebelumnya.

Mata bayi berkenaan kelihatan semakin kuning manakala perutnya turut membesar.

Iklan

Doktor dilaporkan menggunakan dos rendah ubat tidur, namun Khawla berada dalam keadaan sangat lemah dan tidak aktif.

Sementara itu, menerusi perkongsian ibunya, Sabrina memaklumkan bahawa puterinya pergi dalam keadaan tenang dan tidak lagi menanggung kesakitan.

“Alhamdulillah, anak mummy pergi dengan senyuman. Khawla sudah tidak rasa sakit lagi.

“Buat pertama kali mummy dapat sentuh Khawla tanpa sarung tangan. Buat pertama kali juga mummy dapat peluk Khawla,” katanya menerusi coretan di media sosial.

Beliau turut meluahkan rasa syukur kepada ALLAH SWT kerana diberi peluang menjaga bayi berkenaan selama tiga bulan.

“Al Khawla dan abang Al-Fateh, tunggulah mummy dan daddy di syurga ya.

“Terima kasih ALLAH kerana meminjamkan Maryam Al Khawla selama tiga bulan kepada mummy dan daddy,” katanya.

Jenazah bayi berkenaan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Pusara Abadi, Alor Gajah selepas solat Asar, selepas selesai urusan solat jenazah di rumah keluarga.

Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata perempuan menerusi rawatan kesuburan in vitro (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang diasaskan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sebelum ini, kisah pasangan berkenaan turut mendapat perhatian negara susulan tragedi kematian anak lelaki mereka, Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri, ketika berada dalam jagaan pengasuh di sebuah taska di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah, pada September 2024.

Tragedi berkenaan mengundang simpati rakyat Malaysia terhadap pasangan itu yang kehilangan anak lelaki berusia lapan bulan selepas menanti kehadiran cahaya mata selama 13 tahun.