SHAH ALAM - Suami kepada pelakon, Allahyarham Nadia Kesuma, Profesor Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah tampil memperbetulkan fakta berkaitan kematian isterinya pada 15 Januari lalu.
Katanya, hantaran bergambar memaparkan tangkap layar kononnya menunjukkan Allahyarham rebah di Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz, Jeddah adalah tidak benar.
"Terdapat 'posting' bergambar yang memaparkan tangkap layar kononnya menunjukkan arwah rebah di lapangan terbang, untuk pengetahuan semua, bukti video tersebut tidak wujud setakat ini.
"Kami, sebagai keluarga, telah secara rasmi memohon melalui kerajaan Malaysia kepada kerajaan Arab Saudi untuk membolehkan kami (hanya keluarga) menonton video tersebut, memandangkan arwah dilaporkan hilang pada 15 Januari.
"Malangnya, permintaan kami sehingga hari ini (hari kami meninggalkan Jeddah) untuk kembali ke Malaysia, masih belum dipenuhi," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Jelasnya, pihak berkuasa Arab Saudi mempunyai protokol, polisi dan prosedur tersendiri.
Menurut Muhammad Kamarul, contohnya, bagi kes kehilangan orang dewasa, laporan hanya boleh dibuat selepas 24 jam kehilangan, barulah pihak polis boleh menerima laporan daripada pengadu.
"Jadi, bagaimana kita tahu bahawa arwah meninggal dunia di Lapangan Terbang Jeddah? Kejadian itu dijelaskan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) oleh pegawai Saudi di sana.
"Video tersebut tidak ditunjukkan kepada kami dan lokasi tepat kejadian juga tidak diberitahu. Oleh itu, sebarang kenyataan yang menyatakan arwah jatuh di lokasi tertentu adalah tidak benar," katanya.
Tambah beliau, apa yang diberitahu Allahyarham dibawa keluar menggunakan pengusung ke ambulans dan diberikan rawatan perubatan secepat mungkin.
Menerusi hantaran berkenaan juga, Muhammad Kamarul menerangkan kesimpulan berkenaan kejadian tersebut dan mereka tidak tahu lokasi sebenar di mana Allahyarham isterinya rebah.
"Kami tidak mengetahui dengan tepat di mana arwah rebah. Namun, kami tahu waktu kematian, iaitu antara 8 hingga 8.10 pagi (waktu Jeddah), bersamaan 1 hingga 1.10 tengah hari (waktu Malaysia).
"Dalam hantaran anak saya, Myraa, ditulis sebagai 8.05 malam. Itu adalah kesilapan anak saya kerana kami dimaklumkan berita kematian oleh Wisma Putra pada 12.17 pagi, 18 Januari 2026, jadi dia menganggap kematian berlaku pada waktu malam.
"Waktu kematian rasmi yang diberikan oleh pihak hospital di Jeddah adalah 8.07 pagi (waktu Jeddah) atau 1.07 tengah hari (waktu Malaysia)," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Nadia Kesuma atau Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, meninggal dunia pada hari sama Allahyarham dilaporkan hilang di Jeddah, Arab Saudi.
Nadia hilang selepas gagal dikesan ketika transit di lapangan terbang di Jeddah ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke London.
Allahyarham adalah sebahagian daripada 21 peserta pakej lawatan Umrah-London-Paris dianjurkan Nuh Travel & Tours Sdn Bhd.
Pihak berkuasa lapangan terbang memaklumkan Nadia rebah akibat serangan jantung dan telah dikejar ke King Fahad Hospital Jeddah.