KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 35, Jalan Lok Heng–Mawai di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kemalangan pada jam 12.24 tengah hari itu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y16ZR serta sebuah lori Isuzu.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun, terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan.
“Motosikal itu kemudiannya bertembung dengan lori berkenaan yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun.
“Kemalangan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir ke lokasi. Pemandu lori pula tidak cedera,” katanya.
Yusof menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, individu boleh dipenjara antara lima hingga 10 tahun, didenda antara RM20,000 hingga RM50,000, serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama ketika berada di jalan raya,” katanya.