SUNGAI BULOH – Kepulan asap tebal yang dilihat dari beberapa kawasan sekitar Ijok termasuk Puncak Alam sejak pagi Sabtu terungkai apabila dikenal pasti berpunca daripada kebakaran sampah di Jalan Ijok Batu 23, Kampung Sentosadi sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.08 petang.
"Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya tiba di lokasi pada jam 2.26 petang.
"Kebakaran melibatkan sampah dengan keluasan anggaran 150 x 50 kaki persegi serta turut melibatkan asid hidroklorik yang disimpan dalam tong berkapasiti 200 liter, dianggarkan lebih 50 tong,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, berikutan penglibatan bahan kimia berbahaya, Pasukan HAZMAT BBP Selayang telah digerakkan ke lokasi bagi membantu kerja-kerja pemadaman dan kawalan risiko.
"Setakat ini, kerja-kerja pemadaman masih diteruskan bagi memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya.
"Operasi melibatkan seramai 14 anggota bomba bertugas serta bantuan daripada BBP Selayang dan BBP Rawang, dengan penggunaan dua jentera dari BBP Bestari Jaya dan BBP Rawang serta sebuah lori tangki dari BBP Selayang," katanya.
Menurutnya, punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.