Penjaga rumah penampungan migran dipenjara dua tahun

Iklan
Tertuduh, Rabbi Hosen (dua dari kiri) ketika dibawa ke mahkamah.

SHAH ALAM – Tindakan seorang lelaki warga Bangladesh berperanan sebagai penjaga rumah penampungan migran mengundang padah apabila dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas disabitkan kesalahan berkaitan penyeludupan manusia.

Lelaki berusia 21 tahun itu didapati bersalah menyembunyikan serta melindungi empat lelaki senegaranya di sebuah unit kediaman yang dijadikan premis persinggahan sementara bagi kegiatan haram berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tertuduh, Rabbi Hosen disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 26H, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

"Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Januari lalu selepas mahkamah mendapati tertuduh berperanan sebagai penjaga rumah penampungan yang digunakan sebagai lokasi transit aktiviti penyeludupan.

Iklan

"Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun dan hukuman tersebut diperintah berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, sabitan berkenaan adalah hasil Operasi Khas yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia pada 4 November 2025 di Rumah Pangsa Rampai Idaman, Prima Damansara, Petaling Jaya.

Iklan

"Dalam operasi itu, tertuduh bersama empat warga asing lain ditemui berada di dalam sebuah unit kediaman yang dipercayai dijadikan premis transit bagi aktiviti penyeludupan,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pemilik premis yang menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

"Tindakan tegas turut dikenakan terhadap warga asing yang memasuki atau tinggal di negara ini tanpa kebenaran sah.

"Orang ramai diminta tidak melindungi atau membantu pihak yang melanggar undang-undang imigresen serta sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan kegiatan haram boleh disalurkan melalui saluran rasmi aduan Jabatan Imigresen Malaysia.

"JIM komited untuk terus memperkukuh penguatkuasaan demi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.