SEBERANG JAYA - Penggunaan ubat generik adalah langkah strategik kerajaan untuk menurunkan kos perubatan tanpa mengurangkan kualiti rawatan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dasar itu telah berjaya menjimatkan lebih RM900 juta dalam tempoh dua tahun menerusi pelaksanaan Dasar Ubat Generik di sektor awam dan swasta, sekali gus memastikan rakyat mendapat akses kepada ubat berkualiti pada harga berpatutan.
“Bukan kerana ia murah, tidak selamat atau tidak berkesan. Ubat generik adalah setara dengan ubat asal dan ubat inovatif apabila dipreskripsikan oleh pakar dan klinisyen.
"Rakyat perlu faham bahawa ini bukan soal kos sahaja, tetapi soal keberkesanan dan keselamatan rawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.
Dzulkefly menambah, komuniti klinikal termasuk pakar dan pengamal perubatan disarankan mengutamakan preskripsi ubat generik.
"Ubat generik juga telah melalui kajian ketat termasuk Kajian Bioekuivalens bagi membuktikan persamaan dengan ubat asal dari segi keselamatan dan keberkesanan.
“Dalam dua tahun lepas, kita telah melaksanakan 'generic first policy' yang mana ubat generik dijadikan pilihan utama apabila terdapat alternatif.
"Ini bukan sahaja langkah penjimatan malah memastikan akses rawatan yang lebih luas untuk rakyat,” jelasnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai isu kelewatan projek Kementerian Kesihatan (KKM), beliau berkata, kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memantau pelaksanaan projek terutamanya projek yang dikenal pasti bermasalah atau projek sakit.
“Kementerian akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan setiap dua hingga tiga bulan bagi meneliti status semua projek termasuk tahap kemajuan, masalah yang dihadapi, serta membuat laporan kepada Kabinet.
"Kita bekerjasama dengan JKR, sama ada di peringkat pusat atau negeri kerana JKR adalah pelaksana manakala KKM adalah klien yang memberikan syor dan pertimbangan,” katanya.
Beliau turut berkata, terdapat beberapa projek hospital yang mengalami kelewatan serius termasuk Hospital Putrajaya serta di Sabah dan Sarawak seperti Hospital Papar yang masing-masing mengambil masa lebih 10 tahun untuk disiapkan.
“Tempoh 10 tahun, 5 tahun, tidak boleh kita toleransi. Penantian terlalu lama adalah satu penyeksaan kepada rakyat.
"Kontraktor perlu menunaikan tanggungjawab menyiapkan projek mengikut tempoh yang ditetapkan,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan bahawa penjimatan melalui penggunaan ubat generik dan pemantauan projek hospital adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan lebih efisien, berkualiti dan berdaya capaian kepada seluruh rakyat Malaysia.