Prestasi ringgit antara terbaik di Asia hasil kestabilan politik, tatakelola baik - Anwar

Iklan
Anwar (depan, lima dari kanan) bergambar bersama penduduk yang hadir ke Karnival Kebudayaan Madani dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, Permatang Pasir pada Sabtu.

PERMATANG PAUH - Prestasi ringgit sebagai salah satu mata wang terbaik di Asia membuktikan keberkesanan dasar tatakelola kerajaan serta kestabilan politik negara yang semakin diyakini pelabur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengukuhan nilai ringgit bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan kerajaan dalam memastikan keamanan negara, pentadbiran yang cekap serta ketegasan membanteras rasuah dan penyelewengan.

Iklan
Iklan

"Politik kena kuat dan stabil. Kita lihat di beberapa negara jiran, termasuk Thailand dalam tempoh dua hingga tiga tahun sudah bertukar empat atau lima Perdana Menteri. Keadaan ini memberi kesan besar kepada ekonomi.

"Malaysia berbeza. Dari segi ekonomi, ringgit kita mencatatkan prestasi terbaik di Asia, bukan hanya berbanding negara jiran tetapi seluruh Asia," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Kebudayaan Madani dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, Permatang Pasir di sini pada Sabtu.

Anwar menegaskan bahawa keyakinan pelabur terhadap Malaysia bergantung kepada keupayaan kerajaan menjaga integriti pentadbiran dan memastikan tiada kebocoran hasil negara.

Iklan

"Sebab itu saya kata, semuanya bermula dengan tatakelola," katanya.

Pada Jumaat, ringgit melepasi paras psikologi penting 4.00 berbanding dolar AS apabila mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun pada 3.9992, dengan kali terakhir ringgit berada pada paras itu pada 18 Jun 2018 yang mencecah 3.9960/9990.