IPOH – Tabika Perpaduan kekal relevan sebagai antara platform pendidikan awal kanak-kanak di negara ini walaupun jumlahnya jauh lebih kecil berbanding institusi pendidikan seumpamanya di bawah kementerian dan agensi kerajaan serta sektor swasta.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ketika ini terdapat 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara dengan jumlah pendaftaran mencecah 33,000 murid bagi tahun ini.
Menurutnya, pendaftaran bagi kebanyakan Tabika Perpaduan telah ditutup namun masih terdapat beberapa kelas yang belum mencapai kapasiti penuh.
"Kita hanya perlukan tambahan sekitar 100 hingga 150 murid lagi untuk mencukupkan semua tabika yang masih mempunyai kekosongan.
"Sebab itu kita masih buat promosi untuk kelas-kelas yang belum penuh,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Mock Cheque Peruntukan Program Satelit Komuniti Rakyat Madani Tahun 2026 Peringkat Ipoh di Pusat Nadi Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, di sini, pada Sabtu.
Aaron menjelaskan, jumlah Tabika Perpaduan adalah kecil jika dibandingkan dengan tabika dan tadika lain di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta sektor swasta.
“Di bawah KPM sahaja sudah lebih 8,000 tabika dan tadika, KEMAS hampir 10,000, swasta pula lebih 10,000. Tetapi Tabika Perpaduan hanya sekitar 1,800.
"Walaupun jumlah Tabika Perpaduan ini kecil, namun sambutannya tetap memberangsangkan,” katanya.
Menurut beliau, kapasiti setiap Tabika Perpaduan juga terhad kerana faktor keluasan dan saiz premis dengan kebanyakan kelas hanya mampu menampung sekitar 25 murid sahaja.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya bersedia sekiranya Tabika Perpaduan diselaraskan di bawah KPM susulan dasar pendidikan negara yang diumumkan kerajaan.