SEBERANG JAYA - Amalan kartel dalam pelbagai sektor termasuk makanan, kesihatan, pertahanan dan pembinaan dikenal pasti sebagai punca utama ketirisan kewangan negara sehingga berbilion ringgit setiap tahun sekali gus membebankan rakyat.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua kementerian dan agensi kerajaan supaya tidak terus bergantung kepada kartel kerana amalan itu menekan rakyat serta menyebabkan negara menanggung kerugian kewangan yang besar.
Menurutnya, sebagai contoh, kerajaan terpaksa membelanjakan antara RM1 bilion hingga RM1.2 bilion setahun sebelum ini semata-mata bagi mengekalkan harga ayam akibat penguasaan kartel namun langkah tegas yang diambil kini berjaya menghentikan amalan tersebut.
“Setiap tahun kerajaan bayar tidak kurang RM1 bilion, RM1.2 bilion untuk jaga harga ayam. Akhirnya kita berani tekan dan hentikan dan RM1.2 bilion berjaya diselamatkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya di sini pada Sabtu.
Menurut Anwar, masalah kartel bukan sahaja berlaku dalam sektor makanan malah turut menular dalam bidang pertahanan, kesihatan serta pembinaan menyebabkan kerajaan terikat dengan sistem lama dan harga yang melambung tinggi.
“Di pertahanan ada kartel, di kesihatan ada kartel, di JKR pun ada kartel.
"Akhirnya negara ini ditekan oleh kelompok kartel dengan harga yang tidak munasabah,” tegas beliau.
Mengulas mengenai sektor kesihatan, Anwar berkata, perubahan dasar pembelian ubat dengan memberi keutamaan kepada ubat generik yang memenuhi piawaian keselamatan telah berjaya menjimatkan hampir RM1 bilion.
“Ubat dari Amerika harganya RM100 sebiji sedangkan (ubat) generik dari negara lain boleh dibeli RM10.
"Yang penting ia selamat dan berkesan, bukan kerana kita kagum dengan jenama mahal,” katanya.
Beliau menambah, prinsip peralihan dan pemindahan teknologi yang digariskan dalam Dasar Industri Pertahanan Negara wajar dijadikan contoh oleh kementerian lain bagi membangunkan keupayaan tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada kartel luar.
Menurut Anwar, penjimatan hasil penghapusan kartel, penyasaran subsidi serta pembanterasan penyeludupan dan rasuah membolehkan kerajaan menyalurkan semula dana kepada rakyat tanpa memperkenalkan cukai baharu.
"Antara langkah yang dilaksanakan termasuk kenaikan gaji penjawat awam melibatkan peruntukan RM18 bilion, selain bantuan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM15 bilion.
“Cukai tidak kita tambah. Dana ini datang daripada keberanian kita menghentikan kartel, menutup ketirisan dan merombak sistem lama,” katanya.
Beliau mengakui isu kos sara hidup masih menjadi cabaran utama namun menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh inisiatif bersasar seperti Jualan Rahmah bagi mengurangkan tekanan terhadap rakyat.
“Dengan politik yang stabil dan negara yang aman, kita berani buat keputusan tegas walaupun tidak disenangi oleh segelintir pihak,” katanya.