PM arah semua hospital, premis kerajaan kurangkan penggunaan gula

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat pesakit selepas menyempurnakan majlis pelancaran bangunan baharu Hospital Seberang Jaya hari ini. Foto Bernama

SEBERANG JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi arahan tegas kepada semua hospital dan premis kerajaan supaya mengurangkan penggunaan gula dalam makanan dan minuman bagi menangani masalah diabetes dan obesiti yang semakin membimbangkan di Malaysia.

Menurutnya, amalan pengambilan gula berlebihan di negara ini berada antara yang tertinggi di Asia dan menjadi punca utama rakyat menghidap pelbagai penyakit.

Iklan
Iklan

"Kita tahu gula membawa penyakit. Minum sedikit tidak mengapa, tetapi penggunaan berlebihan memberi kesan serius kepada kesihatan rakyat," katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya di sini pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan agar hospital dan klinik memaparkan poster kesedaran tentang pengurangan gula serta memastikan semua jamuan kerajaan disediakan dengan kandungan gula yang rendah.

Iklan

"Arahan ini turut melibatkan semua jabatan kerajaan termasuk Jabatan Perdana Menteri.

“Dengan semangat ini, kita boleh membangunkan program kesihatan dan kesejahteraan yang melibatkan seluruh masyarakat," katanya.

Iklan

Katanya, fokus utama ialah dua perkara iaitu kurangkan gula dan elak makan berlebihan.

"Saya mahu poster-poster mengenai gula ini dipasang di semua hospital kita. Terangkan perkara ini dengan jelas. Di hospital, kuih atau makanan yang mengandungi gula berlebihan adalah dilarang.

"Semua jamuan kerajaan termasuk di Jabatan Perdana Menteri telah dikurangkan. Kita telah mengeluarkan arahan supaya makanan manis tidak disediakan.

"Walaupun ada yang masih mengambil gula berlebihan, secara umum arahan ini mesti dikuatkuasakan oleh setiap jabatan kerajaan," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan beberapa kempen untuk mengurangkan pengambilan gula, tetapi masih belum mencapai keberkesanan sepenuhnya.

“Malaysia membelanjakan puluhan bilion ringgit untuk perubatan, tetapi rakyat masih mencari penyakit sendiri.

"Saya tekankan di sini bahawa pengawalan gula harus bermula di hospital dengan menyediakan minuman dan kuih rendah gula," tegasnya.

Anwar turut menekankan pentingnya menurunkan kadar gula dalam darah kepada tahap lebih sihat.

"Kalau bacaan gula 6.8, kita perlu kurangkan lagi sehingga ke 6 kemudian ke 5.5 supaya tubuh lebih dinamik,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan masalah obesiti juga menjadi isu utama akibat tabiat makan berlebihan dan kurang bersenam.

"Obesiti bermakna makan berlebihan. Ini budaya buruk yang perlu diubah.

"Bila ada penyakit, rakyat cari penyakit, bila tiada penyakit pun cari penyakit. Kita perlu ubah budaya ini,” katanya.