Mutu pendidikan teras dasar baharu, elak isu perkauman berpanjangan- PM

Iklan
Anwar (dua dari kanan) bergambar bersama warga HSJ dan KKM ketika tiba di Majlis Perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya, pada Sabtu.

SEBERANG JAYA - Kerajaan menegaskan bahawa mutu pendidikan negara perlu menjadi fokus utama dalam pelaksanaan dasar pendidikan baharu tanpa terus terheret dalam perdebatan isu perkauman dan bahasa yang berpanjangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar pendidikan yang dilancarkan baru-baru ini memberi penekanan terhadap masa depan anak-anak serta keupayaan negara bersaing di peringkat global sejajar dengan perubahan pesat dunia khususnya dalam bidang digital dan kecerdasan buatan (AI).

Iklan
Iklan

“Jangan diheret perbincangan soal-soal yang memecah belahkan kita, tak habis-habis.

"Soal kaum dan bahasa itu penting, tetapi perlu diselesaikan segera supaya kita boleh tumpu kepada masalah negara, masa depan anak-anak kita dan mutu pendidikan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya di sini, pada Sabtu.

Iklan

Menurut Anwar, antara penambahbaikan utama ialah cadangan kemasukan murid ke Tahun Satu pada usia 6 tahun selaras dengan amalan kebanyakan negara maju termasuk di rantau ASEAN manakala prasekolah disediakan seawal usia lima tahun secara percuma di sekolah kerajaan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pelaksanaan dasar tersebut tidak diwajibkan buat masa ini bagi memberi ruang kepada ibu bapa yang merasakan anak mereka belum bersedia.

Iklan

“Kalau tanya saya, sepatutnya kita wajibkan. Tetapi kita beri kelonggaran dahulu.

"Yang penting, setahun sebelum itu kita sediakan prasekolah percuma supaya anak-anak benar-benar bersedia masuk Tahun Satu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan penilaian akademik akan dilaksanakan lebih awal iaitu pada Tahap Dua bermula Tahun Empat bagi memastikan murid menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira serta penguasaan bahasa.

“Kalau kita nilai di Tahun Empat, kita masih ada dua tahun untuk baiki sebelum ke peringkat seterusnya.

"Jangan tunggu sampai Tahun Enam hanya kerana itu kebiasaan lama,” katanya lagi.

Mengulas isu aliran pendidikan, Anwar menegaskan, kerajaan tidak akan menyalahkan mana-mana aliran termasuk sekolah agama rakyat sekolah antarabangsa atau Unified Examination Certificate (UEC), sebaliknya menekankan keperluan penyelesaian menyeluruh dan adil.

“Kalau nak belajar aliran agama, Arab atau antarabangsa, boleh. Tetapi syaratnya mesti menguasai bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia.

"Jika syarat itu dipenuhi, kita kena beri ruang mereka melanjutkan pelajaran ke kolej dan universiti,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan inklusif itu penting bagi memastikan semua pelajar warganegara Malaysia mendapat peluang pendidikan tinggi tanpa mengabaikan identiti nasional.

Dalam masa sama, Anwar menekankan pendidikan tidak seharusnya hanya melahirkan individu berkemahiran tinggi tetapi insan yang berakhlak dan menghormati kepelbagaian kaum serta budaya.

“Kita tidak mahu lahirkan graduan cemerlang, sampai PhD sekalipun, tetapi gagal menjadi manusia yang menghormati perbezaan.

"Pendidikan mesti mengangkat martabat insan, nilai kemanusiaan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk Malaysia,” katanya.

Selasa lalu, Anwar melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 sebagai langkah reformasi pendidikan bagi membina masa depan generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.

Kementerian Pendidikan (KPM) kemudiannya menegaskan kemasukan awal kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu akan dilaksanakan secara fleksibel, bukan bersifat wajib dan hanya melibatkan ibu bapa serta murid yang telah bersedia.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ibu bapa perlu menilai kesediaan anak-anak mereka sebelum pendaftaran ke sekolah, manakala KPM akan menjalankan ujian diagnostik untuk mengenal pasti tahap asas pendidikan dan keperluan khusus setiap murid.