BANGSAR - Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd sekali lagi mengorak langkah segar dalam memperkukuhkan usaha inklusiviti dan kepelbagaian melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) baharu yang dinamakan Sahabat Istimewa IWK.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK, M Narendran berkata, inisiatif tersebut merupakan kesinambungan usaha syarikat terhadap komitmen jangka panjang dalam menyokong pembangunan komuniti khususnya golongan orang kurang upaya (OKU).
Menurut beliau, Sahabat Istimewa IWK bukan sekadar program CSR biasa kerana inisiatif itu menumpukan pembangunan kemahiran, peningkatan keyakinan diri dan persediaan untuk menyertai dunia pekerjaan agar mereka mampu menjalani kehidupan yang lebih berdikari, bermakna serta memuaskan.
“Pemerkasaan yang ingin kita laksanakan bukan bersifat kebajikan semata-mata, tetapi lebih kepada membina keupayaan dan membuka peluang.
“IWK ingin melihat mereka bukan hanya penerima bantuan, tetapi sebagai sahabat yang mampu menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Teater Amal IWK di IWK Eco Park, di sini pada Jumaat.
Pelancaran Sahabat Istimewa IWK diterjemahkan melalui pementasan teater amal syarikat tersebut yang bertajuk ‘Najis Jadi Teman’.
Persembahan kreatif itu memaparkan kerja-kerja di belakang tabir IWK dengan menampilkan wakil komuniti pekak, malah turut dijayakan bersama oleh penyanyi terkenal, MimiFly dan Atilia Haron serta pelakon teater, Alfred Loh dan Phraveen Arikiah.
Pementasan selama sejam itu juga diihasilkan dengan kerjasama Wayang Kitchen dan diarahkan oleh penggiat teater tempatan, Razif Hashim.
Kanak-kanak Yayasan Chow Kit (YCK), badan bukan kerajaan (NGO) yang komited menyokong remaja berisiko di Kuala Lumpur turut mengambil bahagian dalam persembahan tersebut.
Tidak cuma itu, IWK berpeluang memiliki beberapa karya lukisan hasil sentuhan bakat istimewa daripada Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (Nasom) yang melambangkan kreativiti, semangat dan potensi komuniti autisme.
Mengulas lebih lanjut, Narendran memaklumkan, pihaknya bekerjasama dengan Pertubuhan Kebangsaan Bahasa Isyarat dan Pengajian Pekak Malaysia (MyBIM) serta Persatuan OKU Sentral sebagai langkah awal bagi memastikan setiap program berasaskan keperluan sebenar komuniti sekali gus memberi impak lestari.
Jelasnya, peluang latihan, pembangunan kemahiran dan pertumbuhan akan disesuaikan dengan kemampuan, minat dan aspirasi peserta menerusi program tersebut.
“Kami percaya setiap individu tanpa mengira keupayaan fizikal atau intelektual, mempunyai potensi, bakat dan kekuatan tersendiri yang wajar diberi ruang serta peluang untuk berkembang.
“Melalui Sahabat Istimewa IWK, kami berhasrat untuk menyokong dan membina kemahiran penting.
“Di samping itu, memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi dunia pekerjaan dan seterusnya menjalani kehidupan yang lebih berdikari,” ujarnya.
Dalam pada itu, MimiFly serta Atilia ketika ditemui Sinar Harian mengakui elemen penyampaian mesej kepada masyarakat menerusi pementasan teater satu idea yang cukup bernas dan segar.
Masing-masing berpandangan bahawa teater bukan sekadar wadah untuk mengekpresikan diri, tetapi juga platform menceritakan di sebalik terbinanya sesebuah legasi seperti IWK namun dengan gaya lebih ‘infotainment’.
“Saya sendiri tak sangka skrip yang berbunyi korporat sebegini boleh jadi sangat menarik dan syabas kepada IWK kerana menggunakan pementasan teater sebagai landasan untuk mendidik orang awam tentang pembetungan najis.
“Syarikat korporat yang lain pun saya rasa kena buat pementasan sebegini juga supaya ‘layman’ seperti kami boleh faham,” kata Atilia.