SARANAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya projek ladang babi berpusat di Bukit Tagar, Selangor dibatalkan terlebih dahulu atau dipindahkan ke kawasan baharu yang lebih baik mendapat reaksi banyak pihak.
Mana tidaknya, isu tersebut menjadi topik perbualan hangat sejak awal tahun lagi, tambahan pula Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim memaklumkan perpindahan ladang babi dari Kuala Langat dan Sepang bakal disegerakan sebelum hujung tahun ini.
Anwar memberitahu, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk mendapatkan penyelesaian terbaik berhubung isu itu.
Katanya, meskipun teknologi yang dicadangkan terbaik, ia tidak wajar diteruskan jika timbul keresahan dalam kalangan penduduk setempat.
Anwar menambah, Kerajaan Persekutuan tetap prihatin kerana perkara berkenaan menimbulkan keresahan umum, walaupun ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Selangor.
Dapat dilihat bahawa Anwar menzahirkan pendirian berhati-hati dengan mengambil kira keluhan rakyat terhadap kontroversi projek ladang babi berskala besar itu.
Pendekatannya menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak cuma melihat dari sudut ekonomi atau keupayaan teknologi, tetapi juga keprihatinan terhadap keresahan rakyat pelbagai kaum yang tinggal berhampiran kawasan cadangan.
Penegasan tentang teknologi dicadangkan adalah terjamin', namun tidak wajar juga diteruskan sekiranya menimbulkan kebimbangan jelas satu isyarat bahawa keseimbangan antara pembangunan dan kesejahteraan rakyat diambil serius.
Sudah pasti khabar ini membuatkan penduduk menarik nafas lega kerana pemimpin nombor satu itu sendiri menyarankan agar projek tidak diteruskan atau dipindahkan ke lokasi lain.
Mengambil kira ketidakpuasan hati terhadap keputusan awal kerajaan negeri yang dilihat kurang peka dengan rungutan masyarakat setempat.