Dulang emas dibenarkan, kayakah rakyat Kelantan?

Iklan
Keputusan kerajaan Kelantan membenarkan aktiviti mendulang emas secara terkawal sememangnya dilihat sebagai satu langkah progresif. Gambar hiasan

BAYANGAN kekayaan segera mula berlegar dalam imaginasi sebahagian rakyat Kelantan sebaik sahaja kerajaan negeri mengumumkan kebenaran aktiviti mendulang emas secara sah bermula Januari 2026.

Ada yang melihatnya sebagai ‘durian runtuh’, tidak kurang juga yang menganggap ia peluang mengubah nasib hidup dalam sekelip mata.

Iklan
Iklan

Namun dalam keterujaan memburu logam berharga itu, satu persoalan asas perlu dijawab secara jujur dan rasional, adakah kebenaran mendulang emas ini benar-benar mampu menjadikan rakyat Kelantan kaya raya atau sekadar mencetuskan euforia sementara yang akhirnya berdepan realiti pahit di lapangan?

Keputusan kerajaan Kelantan membenarkan aktiviti mendulang emas secara terkawal sememangnya dilihat sebagai satu langkah progresif, terutama dalam usaha memberi peluang ekonomi alternatif kepada rakyat tempatan.

Iklan

Melalui kaedah tradisional tanpa penggunaan mesin berat, aktiviti ini dibuka khusus kepada anak Kelantan melibatkan lima kawasan yang sudah diwartakan iaitu Sungai Tadoh dan Pergau bagi jajahan Jeli, Galas (Gua Musang), Gentiang (Kuala Krai) serta Bertam (Tanah Merah).

Sejak kerajaan negeri membuat pengumuman berhubung perkara itu, sebanyak 332 lesen mendulang emas telah dimohon oleh penduduk Kelantan.

Iklan

Namun, perlu ditegaskan bahawa mendulang emas bukan jalan singkat menuju kekayaan mutlak. Realitinya, hasil yang diperoleh bergantung kepada lokasi, pengalaman, ketekunan serta faktor nasib.

Tidak semua pendulang akan pulang dengan emas bernilai tinggi, malah ada yang hanya memperoleh butiran kecil yang sekadar menampung kos dan tenaga.

Justeru, tanggapan bahawa kebenaran ini bakal menjadikan rakyat Kelantan ‘kaya raya’ perlu dinilai dengan penuh berhemah. Selain aspek ekonomi, isu disiplin dan pematuhan undang-undang turut menjadi perhatian.

Amaran supaya tidak menceroboh tanah persendirian atau kawasan larangan jelas menunjukkan kebimbangan pihak berkuasa terhadap kemungkinan berlakunya konflik sosial dan salah guna kebenaran.

Tanpa kawalan rapi, keterujaan melampau boleh membawa kepada pencerobohan, perebutan kawasan dan ketegangan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam masa sama, dimensi budaya dan kepercayaan masyarakat tempatan turut mencorakkan naratif mendulang emas di Kelantan.

Kisah ‘penunggu’ dan kejadian aneh yang sering dikaitkan dengan lokasi emas bukan sekadar cerita mistik, tetapi mencerminkan kepercayaan lama yang masih mempengaruhi tingkah laku sesetengah pendulang.

Elemen ini, walaupun subjektif, secara tidak langsung menjadi peringatan bahawa aktiviti ini bukan sekadar soal ekonomi, tetapi berkait rapat dengan nilai, adab dan kepercayaan masyarakat setempat.

Dari sudut hukum Islam pula, penjelasan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad bahawa hasil mendulang emas tidak tertakluk kepada zakat secara automatik memberi kelegaan kepada pendulang kecil.

Namun, penekanan terhadap syarat nisab dan haul menunjukkan keuntungan besar tetap tertakluk kepada tanggungjawab agama. Ini menafikan persepsi bahawa mendulang emas adalah ‘wang mudah’ tanpa implikasi moral dan sosial.

Kesimpulannya, kebenaran mendulang emas di Kelantan wajar dilihat sebagai peluang ekonomi berskala kecil dan sederhana, bukannya jaminan kekayaan segera.

Ia mampu membantu menambah pendapatan, menghidupkan ekonomi tempatan dan mengurangkan aktiviti haram, tetapi hanya jika dilaksanakan dengan disiplin, kawalan rapi dan kesedaran jangka panjang.

Jika tidak, impian ‘kaya raya’ itu mungkin hanya tinggal harapan, berkilau di permukaan tetapi rapuh di realiti lapangan.

*Hazelen Liana Kamarudin ialah wartawan Sinar Harian Kelantan