Manis yang tular, harga kesihatan yang mahal

Iklan
Coklat, aiskrim, biskut, gula-gula dan keju dijadikan kombinasi untuk menarik perhatian pelanggan. Gambar dijana AI

SEBELUM ini, tular video seorang peniaga membancuh minuman yang bermula dengan aiskrim, disusuli topping pelbagai warna, gula berlapis dan diakhiri taburan keju tebal. Ramai yang menonton video itu tergamam melihat gabungan overload tersebut.

Namun, hakikatnya minuman sebegini tetap laku keras; jika tiada permintaan, mana mungkin ia menjadi tular. Fenomena ini bukan sekadar hiburan semata-mata, malah mendedahkan satu trend dalam budaya pemakanan masyarakat hari ini.

Iklan
Iklan

Di negara kita, kreativiti peniaga memang tiada tandingan. Daripada makanan jalanan hinggalah minuman manis, idea yang ‘gila-gila’ juga boleh menjadi jualan laris. Coklat, aiskrim, biskut, gula-gula dan keju dijadikan kombinasi untuk menarik perhatian pelanggan.

Namun, di sebalik kemanisan dan warna-warni topping, terdapat realiti kesihatan yang tidak boleh dipandang ringan. Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023, 15.6 peratus rakyat dewasa Malaysia menghidap diabetes, manakala hampir separuh daripada rakyat dewasa mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.

Iklan

Lebih mengejutkan, dua daripada lima pesakit diabetes tidak menyedari keadaan mereka, terutamanya golongan muda. Di Melaka sahaja, terdapat 123,468 pesakit diabetes dengan kira-kira 4,000 kes baharu setiap tahun.

Data ini jelas menunjukkan bahawa walaupun makanan manis dan minuman berwarna-warni memberi keseronokan seketika, kesannya terhadap kesihatan tidak boleh diabaikan.

Iklan

Komplikasi obesiti dan diabetes bukan sekadar angka di atas kertas. Ia boleh membawa kepada masalah jantung, strok, kegagalan buah pinggang, retinopati, malah amputasi. Kesannya bukan sahaja dirasai individu, tetapi juga menimbulkan tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi negara.

Presiden Persatuan Obesiti Malaysia, Profesor Dr Rohana Abdul Ghani, turut menekankan bahawa obesiti perlu diurus seperti penyakit kronik lain melalui intervensi awal, perubahan gaya hidup dan pemantauan perubatan berterusan. Diet pantas atau ‘penyelesaian ajaib’ bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah, malah boleh memburukkan keadaan.

Malah, Profesor Emeritus Dr Chan Siew Pheng dari Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Pusat Perubatan Subang Jaya turut mengingatkan bahawa persekitaran moden mempengaruhi tabiat pemakan. Makanan yang mudah diperoleh, norma sosial yang mengaitkan makan dengan pertemuan sosial serta tekanan ekonomi, semuanya memberi impak besar kepada gaya hidup.

Dari sudut ekonomi, kos rawatan diabetes amat membimbangkan. Laporan Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia menunjukkan bahawa diabetes menyumbang kos penjagaan kesihatan langsung sebanyak RM4.38 bilion pada 2017, dan jumlah ini dijangka terus meningkat sekiranya langkah pencegahan tidak diperkukuh.

Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024-2030, Kempen Kurang Gula, Kurang Harga, larangan penjualan minuman tinggi gula di sekolah serta pengenalan Logo Pilihan Lebih Sihat. Namun, kejayaan dasar-dasar ini tetap bergantung kepada tahap kesedaran dan perubahan tingkah laku masyarakat.

Video minuman ‘overload’ yang tular itu mungkin sekadar hiburan, tetapi ia mencerminkan budaya manis yang semakin berakar dalam kehidupan seharian. Kemanisan boleh dinikmati, namun kesederhanaan amat penting. Setiap pilihan kecil di meja makan hari ini memberi kesan besar terhadap kesihatan pada masa hadapan.

Justeru, sambil kita tergamam melihat topping yang melimpah itu di media sosial, ingatlah bahawa keseronokan hari ini ada harganya dan pilihan bijak hari ini menentukan kesihatan esok.

*Siti Shamila Che Zahari ialah Sub Editor Sinar Harian