Keputusan tangguh pembentangan RUU PSB ambil kira 14 syor konvensyen - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan ketika hadir pada Majlis Makan Malam Perdana Jubli Emas 50 Tahun Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) di WTC pada Jumaat malam. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Penangguhan pembentangan semula Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) di Parlimen dibuat selepas mengambil kira 14 syor penambahbaikan yang dikemukakan pada Konvensyen URA, 3 Oktober lepas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penangguhan itu perlu bagi memastikan RUU berkenaan diperkukuh dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan dalam konvensyen tersebut.

Iklan
Iklan

"Penangguhan itu dibuat kerana rang undang-undang (RUU PSB) yang ada perlu mengambil kira 14 saranan melalui konvensyen anjuran UMNO yang disertai oleh banyak NGO (pertubuhan bukan kerajaan), ahli-ahli perusahaan dan juga individu yang mahu memperkukuh URA sebelum ia dibentangkan semula di Parlimen pada sidang yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Makan Malam Perdana sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) di sini pada Jumaat.

Iklan

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu tegas berpendirian bahawa mereka tidak menentang pembangunan bandar namun RUU PSB perlu diperbaiki dan diperhalusi.

Beliau berkata, beberapa pindaan harus dilakukan sebagaimana cadangan Jawatankuasa Khas UMNO Mengenai PSB yang dipengerusikan oleh Naib Presidennya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Iklan

Asyraf Wajdi berkata, Jawatankuasa Khas itu telah melakukan beberapa siri libat urus termasuk Konvensyen URA pada 3 Oktober tahun lepas yang telah meluluskan 14 syor cadangan penambahbaikan terhadap RUU itu untuk pertimbangan kerajaan. - Bernama