Syaitan bisu: Tindakan melabel tidak matang, bercanggah roh Islam - Mahfuz

Iklan
MAHFUZ - FOTO: Facebook Mahfuz Omar

SHAH ALAM - Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa melabel pihak lain sebagai 'syaitan bisu' dalam konteks menolak Kerajaan Perpaduan dan gagasan kerjasama politik dilihat sebagai pendekatan tidak matang dan bercanggah dengan roh Islam yang rahmah.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, agama Islam tidak mengajar umatnya menghukum dengan label, sebaliknya membimbing secara berilmu, berhikmah dan berakhlak.

Iklan
Iklan

Baginya, perbezaan pandangan dalam urusan siyasah adalah realiti sejak zaman sahabat dan tiada satu parti politik pun boleh mendakwa pihaknya paling hampir dengan ketetapan ALLAH SWT secara mutlak.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan dibentuk melalui Perlembagaan, diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan disokong majoriti ahli Parlimen demi menamatkan ketidaktentuan politik.

Iklan

Katanya, ia bukan kerajaan sempurna tetapi lahir daripada tanggungjawab dan bukan retorik kesucian.

"Melabel kerajaan dipilih secara sah sebagai 'bebas tanpa sempadan ketetapan ALLAH SWT' hanya kerana melibatkan masyarakat majmuk dari segi kepelbagian pendapat adalah naratif berbahaya yang mengelirukan umat, memecah-belahkan rakyat dan merendahkan tradisi fiqh siyasah Islam," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan, Abdul Hadi menganggap Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas pilihan raya umum (PRU) lalu turut melibatkan 'syaitan bisu’ serta kumpulan tidak sealiran dengan parti tersebut.

Sementara itu, Mahfuz menambah, pendekatan Abdul Hadi menggambarkan seolah-olah satu kelompok ilmuwan atau parti sahaja yang layak bercakap tentang Islam, manakala selebihnya dilabel jahil dan menyimpang.

"Ini bukan budaya ilmu, tetapi politik pengkultusan autoriti agama. Islam tidak pernah gagal memimpin masyarakat majmuk. Yang sering gagal adalah ahli politik yang enggan memikul amanah, tetapi gemar menghukum dari luar.

"Rakyat hari ini tidak memerlukan siapa paling suci dalam berkata-kata, tetapi siapa paling amanah menguruskan negara, ekonomi dan kehidupan mereka," ujar beliau.