KINABATANGAN - Semua pihak yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag diingatkan untuk menghentikan sebarang bentuk aktiviti kempen mereka sejurus tempoh rasmi berkempen tamat pada jam 11.59 malam ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, aktiviti berkempen itu termasuk merayu undi di luar pusat mengundi, melalui saluran media sosial seperti Facebook, X, Instagram, TikTok, Threads dan lain-lain.
"SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Semua calon diingatkan untuk membersihkan bahan-bahan kempen yang telah diletakkan atau dipamerkan sepanjang tempoh berkempen dalam masa yang telah ditetapkan dibawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya lagi, semua pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi pada hari mengundi dilarang memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau membawa material yang mempunyai nama, lambang, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding.
"Ini juga termasuk apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.
"Kegagalan pengundi mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh menyebabkan pengundi dilarang dari memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya," katanya.
Beliau turut memaklumkan, pengundi pada PRK tersebut berhubung larangan penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi atau saluran.
"SPR mengingatkan kepada semua pengundi bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah tidak dibenarkan.
"Sebagai peringatan, notis atau poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletakkan di luar dan di dalam tempat mengundi.
"SPR turut menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi," katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan tatacara pengundian yang baharu itu boleh dirujuk menerusi poster Tatacara 10 Langkah Pengundian yang menjelaskan proses pengundian sepenuhnya.
"Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing," katanya.
Sehubungan itu katanya, SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam.
"Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan," katanya.