PRK Kinabatangan, Lamag: SPR guna helikopter hantar peti undi ke pedalaman

Iklan
Petugas SPR membuat persiapan bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag yang akan berlangsung Sabtu ini di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinabatangan. Foto Bernama

KINABATANGAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat menggunakan helikopter untuk menghantar peti undi ke tiga pusat pengundian iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuamut, SK Inarad dan SK Abai, sebagai persiapan akhir menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, esok.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Dr Eddy Syaizul Rizam Abdullah berkata, penggunaan helikopter itu dibuat mengambil kira faktor geografi Parlimen Kinabatangan yang luas selain lokasi pusat pengundian terletak jauh di pedalaman.

Iklan
Iklan

"Hari ini, pergerakan awal menggunakan helikopter telah dilaksanakan ke tiga pusat mengundi bermula seawal 10 pagi hingga 12 tengah hari tadi. Logistik penghantaran peti undi dibahagikan kepada dua fasa iaitu pergerakan awal hari ini dan baki penghantaran pada hari mengundi esok.

"Bagi pusat mengundi di kawasan pesisiran pantai di DUN Sukau, penghantaran peti undi dilakukan menggunakan perkhidmatan bot hari ini," katanya ketika meninjau persiapan akhir di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Sri Lamag di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, proses penghantaran peti undi bagi fasa kedua esok dijadual bermula seawal 3 pagi bagi memastikan kesemua 36 pusat mengundi biasa yang melibatkan 117 tempat mengundi atau saluran dapat beroperasi tepat pada 7.30 pagi.

Katanya, persiapan untuk hari pengundian setakat ini berjalan lancar dan pusat penjumlahan rasmi undi akan beroperasi pada 5 petang esok hingga selesai, dengan keputusan penuh dijangka dapat diumumkan seawal 10 malam.

Iklan

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lepas.

Sebanyak 48,526 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRK Parlimen Kinabatangan dan daripada jumlah itu, 13,703  pengundi akan mengundi bagi DUN Lamag. - Bernama