SHAH ALAM – Pembangkang mendesak Kementerian Luar mengeluarkan kenyataan rasmi dan membentangkan kertas putih di Parlimen bagi menjelaskan fakta sebenar mengenai isu persempadanan Sabah dan Kalimantan.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan, rakyat berhak mengetahui punca negara kehilangan beribu hektar tanah tanpa sebarang penjelasan daripada kerajaan.
"Kerajaan wajib membentangkan rasional teknikal dan diplomatik di sebalik keputusan ini bagi memastikan kedaulatan negara tidak dikompromi dengan mudah.
"Kedaulatan wilayah bukan sekadar angka di atas kertas, ia adalah maruah negara. Kerajaan tidak boleh mengamalkan diplomasi pintu belakang dalam isu yang melibatkan sempadan negara," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini media Indonesia melaporkan, Malaysia memberikan 5,207 hektar tanah kepada republik itu sebagai pampasan untuk tiga kampung kawasan Nunukan, berdekatan sempadan Sabah-Kalimantan.
Setiausaha Badan Nasional Pengurusan Sempadan (BNPP) Indonesia, Makhruzi Rahman berkata, perkara itu berlaku susulan peralihan garis sempadan antara kedua-dua negara, susulan perjanjian penyelesaian sempadan.
Tempo melaporkan, dalam memorandum yang ditandatangani pada 18 Februari 2025, kira-kira 127 hektar wilayah Pulau Sebatik menjadi milik Indonesia, manakala Malaysia memperoleh 4.9 hektar wilayah.
Dalam pada itu Wan Ahmad Fayhsal turut menggesa kerajaan memperincikan status pentadbiran tiga kampung di kawasan terbabit serta menjelaskan nasib dan status kerakyatan penduduk Malaysia yang mungkin terkesan akibat peralihan sempadan tersebut.
"Sejauh manakah rundingan ini menjaga kepentingan sosio-ekonomi rakyat Sabah di sempadan?
"Mengapakah sehingga ke hari ini Wisma Putra masih membisu tanpa sebarang kenyataan media rasmi untuk menjelaskan terma-terma memorandum yang ditandatangani pada Februari lalu?
"Adakah terdapat sebarang klausa kerahsiaan yang menghalang rakyat Malaysia daripada mengetahui nasib tanah jajahan mereka sendiri?" ujarnya.