RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 ditarik balik untuk penambahbaikan - Fahmi

Iklan
Fahmi bercakap pada sidang media mingguan di Menara Komunikasi pada Jumaat. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 ditarik balik untuk penambahbaikan, bagi memastikan isu berkaitan kawasan bandar, termasuk miskin bandar, dapat diatasi dengan lebih tuntas dan adil.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan ahli-ahli Parlimen, termasuk UMNO, serta maklum balas pelbagai pihak berkepentingan.

Iklan
Iklan

"Jemaah Menteri telah bersetuju RUU ini ditarik balik untuk ditambah baik melalui beberapa pindaan dan tambahan dan akan dibentangkan semula dalam bentuk yang baharu di Parlimen.

"Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sendiri telah memaklumkan daripada pihak UMNO, ada sejumlah cadangan yang telah diterima dan banyak daripada cadangan ini hampir kesemuannya akan dimasukkan dalam draf yang baharu.

Iklan

"Jadi hasratnya adalah untuk memenuhi proses itu dan menambah baik rang undang-undang... setelah menerima pelbagai maklum balas termasuk dari kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat," beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan di Putrajaya pada Jumaat.

Ujarnya lagi, setakat ini, Jemaah Menteri tidak dapat memberi kata putus bila RUU ini akan dibentang semula ekoran prosesnya yang dijangka mengambil masa panjang.

Iklan

"Proses untuk menghasilkan draf undang-undang yang baharu... itu kita serahkan kepada Jabatan Peguam Negara. Tapi mungkin setelah proses itu bermula, Jemaah Menteri akan diberikan sedikit taklimat.

"Tapi sebelum ia ke Jabatan Peguam Negara, draf yang baharu pertama mesti dibawa juga kepada Jemaah Menteri untuk dibincangkan. Jadi, kita jangkakan ia akan makan masa," tambahnya.

Sebelum ini, RUU PSB 2025 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dengan tujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil, dan inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan.

Bagaimanapun, bacaan kedua RUU itu ditangguhkan selepas beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyuarakan hasrat supaya ia diteliti semula dengan mengambil kira kebimbangan pelbagai pihak. - Awani