JASIN - Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki tahun lalu.
Tertuduh, K Krishnamorthy, 67, Mohd Azmi Mohd Nor, 35, dan M Yogesvaran, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa dengan niat bersama menyebabkan kematian K Gunalan, 52, dengan mengetahui bahawa perbuatan itu mungkin menyebabkan kematian.
Kesalahan tersebut didakwa berlaku di kawasan Bandar Jasin Bestari antara jam 7.37 malam hingga 8.59 malam pada 27 Julai tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Yusri mencadangkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi setiap tertuduh memandangkan kesalahan yang didakwa adalah serius.
Pihak pendakwaan turut memohon syarat tambahan supaya kesemua tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, dan menetapkan 25 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Krishnamorthy diwakili peguam Datuk K Shashi Kumar, Yogesvaran diwakili Mathan Anandaram manakala Mohd Azmi tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian jam 7.30 malam pada 27 Julai 2025, Gunalan maut selepas didakwa dipukul secara beramai-ramai selepas orang awam berang dengan tindakan penganggur itu menunjukkan kemaluan di khalayak ramai di kawasan parkir sebuah pasar raya.
Mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian awal.
Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, siasatan awal mendapati tindakan mangsa telah menyebabkan dua individu yang berada di kawasan itu berang lalu memukul lelaki berkenaan sebelum mangsa melarikan diri ke arah bangunan kedai berhampiran.
Mangsa yang beralamat di Kesang, Jasin, kemudian berlari ke kawasan semak dan melintasi parit kira-kira 200 meter dari lokasi pertama sebelum bertindak agresif, namun berjaya ditahan oleh orang awam.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Tiga individu didakwa bunuh lelaki tunjuk kemaluan