SHAH ALAM - Siasatan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang lelaki bergelar Tan Sri melibatkan isu pelaburan dikatakan bermula dengan maklumat penyelewengan sekitar RM10 juta sahaja.
Namun, siasatan SPRM kemudian mendapati penyelewengan itu berkemungkinan terlalu besar dan boleh mencecah sehingga ratusan juta ringgit.
Menurut sumber, lelaki terbabit mendapat kepercayaan daripada pelbagai pihak untuk membuat pelaburan.
"Terdapat mangsa yang membuat pelaburan yang cukup besar.
"Siasatan mendapati suspek yang juga bekas pengarah syarikat itu disyaki menyalah guna dana pelaburan berjumlah RM6 juta," katanya.
Tambah sumber, hasil siasatan yang dijalankan pegawai penyiasat SPRM mendapati, nilai dana yang diseleweng berkemungkinan mencecah ratusan juta ringgit dan diseleweng tanpa pengetahuan pelabur yang percaya akan mendapatkan pulangan yang lumayan.
Sebelum itu, perintah reman selama empat hari sehingga 25 Januari ini terhadap lelaki bergelar Tan Sri berusia 60-an itu telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.
Ini bagi membantu siasatan kes penipuan pelabur dipercayai membabitkan nilai kira-kira RM300 juta.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Dalam satu sidang akhbar, Azam dilaporkan berkata, selain individu bergelar Tan Sri itu, seorang wanita berusia 50-an yang merupakan ahli lembaga pengarah syarikat dimiliki lelaki kenamaan tersebut juga telah ditahan.
Syarikat terbabit dikatakan berpengkalan di Kuala Lumpur dan melibatkan pelabur dari seluruh negara.
Kata Azam, Tan Sri berkenaan dipercayai menawarkan pelaburan wang dan telah salah guna wang tersebut kemungkinan ke akaun sendiri atau sebagainya.