Komando meninggal dunia ketika jalani latihan menyelam selamat dikebumikan

Iklan
Jenazah pegawai kanan Pasukan 69 Komando (VAT 69), Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin, yang terkorban ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking, Semporna, selamat tiba di Masjid Saidina Abu Bakar, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk urusan solat jenazah.- Foto Bernama

IPOH - Jenazah pegawai kanan Unit VAT 69 Komando yang meninggal dunia ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking, Semporna semalam selamat dikebumikan 6.10 petang tadi di Tanah Perkuburan Bakar Bata, Tanjung Rambutan di sini.

Terdahulu, penerbangan yang membawa jenazah Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin, 40-an, dari Lapangan Terbang Tawau menggunakan pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tiba di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), di sini 3.20 petang tadi.

Iklan
Iklan

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta untuk disembahyangkan yang dihadiri lebih 500 ahli keluarga, rakan setugas serta warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Antara yang hadir Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Fisol Salleh bersama beberapa pegawai kanan PDRM.

Iklan

Upacara pengebumian Allahyarham dijalankan mengikut istiadat PDRM sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya dalam pasukan keselamatan negara.

Semalam, media melaporkan Allahyarham tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking, kira-kira 10.25 pagi ketika sedang mengikuti latihan menyelam di perairan berhampiran Pos Gabungan PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Iklan

Khairil Azhar kemudian diberikan bantuan kecemasan dan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan siasatan terperinci akan dijalankan berhubung insiden yang berlaku.

Siasatan itu bagi mengenal pasti punca kejadian, termasuk penilaian terhadap prosedur latihan, penggunaan peralatan serta faktor kesihatan dan keselamatan, selaras dengan peraturan dan tatacara operasi standard yang ditetapkan. - Bernama