Kanak-kanak terjun keluar kereta, suspek larikan Proton Exora

Iklan
Suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

SANDAKAN - Dua kanak-kanak berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki mereka dilarikan seorang penjenayah dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Batu 32 di sini pada Khamis.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dikatakan terpaksa terjun keluar dari kenderaan berkenaan.

Iklan
Iklan

Sementara seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun pula ditinggalkan di kawasan simpang Beluran sebelum suspek melarikan diri bersama kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, kejadian itu melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Exora yang ditinggalkan seketika oleh pemiliknya dalam keadaan enjin masih dihidupkan.

Iklan

Menurutnya, ketika kejadian, dua kanak-kanak terbabit berada di dalam kenderaan tersebut iaitu anak pengadu dan anak saudaranya yang berusia tujuh tahun.

"Kedua-dua kanak-kanak itu bagaimanapun berjaya keluar dari kenderaan berkenaan dalam keadaan selamat sebelum suspek melarikan kereta terbabit.

Iklan

"Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan yang dipandu suspek ketika melalui Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Jalan Sapi Nangoh, Beluran pada hari sama," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut George, hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 51 tahun bersama kenderaan yang dilaporkan hilang.

"Suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

"Pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan penyalahgunaan dadah," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin dihidupkan, lebih-lebih lagi jika terdapat penumpang, khususnya kanak-kanak di dalam kenderaan tersebut.