Nahas pelajar UPSI: Bas persiaran beroperasi secara tidak sah

Iklan
Keadaan bas yang terbabit dalam kemalangan ngeri yang meragut 15 nyawa penuntut UPSI di KM53 Jalan Raya Timur-Barat dekat Gerik pada 9 Jun 2025.

SHAH ALAM - Amalan pemajakan tanpa kebenaran dikenal pasti antara empat faktor utama menyumbang kepada kemalangan maut melibatkan sebuah bas yang membawa 42 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak pada 9 Jun lalu.

Berdasarkan laporan akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT), tiga faktor lain ialah pelanggaran syarat lesen, penyalahgunaan sistem pengecualian Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta kegagalan mematuhi Kod Amalan Industri Keselamatan (ICOP) Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, yang sekali gus mendedahkan kelemahan serius dalam tadbir urus pengendali dan kawalan institusi oleh agensi berkaitan.

Iklan
Iklan

"Kegagalan pengendali menyemak rekod kesalahan pemandu yang mempunyai puluhan saman termasuk kesalahan kelajuan menunjukkan jurang besar dalam pemilihan dan pemantauan sumber manusia.

"Senario ini membentuk satu corak kegagalan sistemik yang mengakibatkan pemandu tidak berkelayakan, kurang disiplin dan berisiko tinggi ditugaskan untuk mengendalikan kenderaan awam," menurut laporan itu yang dikeluarkan pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini seramai 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 wanita dilapor maut, manakala pemandu serta penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) cedera dalam kemalangan di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli dekat Gerik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata dalam sidang media pada 11 Jun 2025 berkata, dua kesalahan besar dikesan dilakukan syarikat pengendali bas termasuk memajak permit bas kepada pihak ketiga.

Iklan

Dalam pada itu, laporan tersebut mendapati kemalangan berkenaan berpunca daripada gabungan kompleks faktor mekanikal, manusia, persekitaran dan organisasi.

Menurutnya, kegagalan sistem brek bas yang tercemar dan tidak seragam, digabungkan dengan pemanduan pada kelajuan melebihi had selamat menyebabkan kehilangan kawalan kenderaan.

"Keadaan jalan yang mencabar, kelemahan reka bentuk dan pemasangan penghadang jalan serta kegagalan struktur kabin bas telah meningkatkan keterukan impak dan kecederaan.

"Di samping itu, amalan pengendalian tidak sah, ketidakpatuhan terhadap keperluan keselamatan serta kelemahan kawal selia dan penguatkuasaan mencerminkan isu sistemik dalam industri pengangkutan pelancongan," jelasnya.