PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil pendekatan intervensi terhadap institusi tahfiz dan pondok susulan keperluan mewajibkan subjek bahasa Melayu dan Sejarah selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang diumumkan kerajaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, langkah itu dilaksanakan secara berperingkat melalui kerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama negeri bagi memastikan pelajar tahfiz dan pondok turut mendapat pendidikan sewajarnya tanpa menjejaskan identiti pendidikan Islam tradisional.
Beliau juga mengakui realiti bahawa terdapat institusi tahfiz dan pondok yang tidak menawarkan subjek akademik, sekali gus menimbulkan kekangan kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran atau meneroka peluang pendidikan lebih luas selepas tamat pengajian.
“Pendekatan yang kita laksanakan dengan pihak berkuasa agama negeri ialah melalui program intervensi yang membolehkan pelajar tahfiz dan pondok mendapat pendidikan sewajarnya, supaya mereka mempunyai ruang dan peluang melanjutkan pelajaran selepas tamat pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Temubual Khas Bersama Pengarang Kanan Agensi Media di pejabatnya di sini pada Jumaat.
Sirajuddin menjelaskan, pelaksanaan intervensi itu turut digerakkan bersama Kementerian Pendidikan menerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam Kebangsaan bagi memastikan penyelarasan antara dasar RPM dan sistem pendidikan Islam.
Tambah beliau, Jakim kini dalam proses membangunkan Dasar Pondok Negara yang akan menjadi kerangka utama merangkumi aspek pendidikan wajib minimum yang wajar dilaksanakan oleh institusi pondok, tahfiz dan sekolah agama rakyat.
“Di sinilah kita akan sentuh perkara berkaitan pendidikan wajib yang patut dilaksanakan bersama oleh sekolah pondok, tahfiz dan sekolah agama rakyat, insya-ALLAH,” katanya.
Beliau menegaskan, kejayaan pelaksanaan dasar itu bergantung kepada kefahaman serta sokongan masyarakat Islam agar pendekatan yang diambil benar-benar memberi manfaat kepada pelajar, bukan disalah tafsir sebagai campur tangan berlebihan.
Mengulas garis masa pelaksanaan, Sirajuddin berkata, inisiatif berkenaan sepatutnya dilaksanakan lebih awal namun ditangguhkan berikutan beberapa perkara yang perlu ditangani, dengan sasaran baharu ditetapkan bermula 2026.
Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah dalam aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) diwajibkan untuk mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Langkah sedemikian katanya bagi memastikan kontroversi berkaitan isu Bahasa Melayu akan dapat dileraikan, sekali gus hal berkaitan syarat kemasukan ke Universiti Awam (UA) juga tidak lagi berbangkit selepas ini.
Dalam pada itu, Sirajuddin berkata, kerajaan turut menyalurkan sokongan kewangan berterusan kepada institusi pendidikan Islam swasta termasuk pondok dan tahfiz melalui peruntukan yang ditingkatkan kepada RM200 juta tahun ini, berbanding RM150 juta sebelum ini.
Katanya, peruntukan berkenaan bukan sahaja melibatkan kerja penyelenggaraan dan naik taraf malah turut merangkumi usaha pengiktirafan serta penambahbaikan kualiti institusi pendidikan Islam.
“Antara pendekatan baharu yang kita bawa adalah memperkenalkan teknologi terkini supaya pelajar tahfiz dan pondok tidak ketinggalan, termasuk pembekalan peralatan komputer berserta latihan,” jelas beliau.
Katanya, usaha meningkatkan literasi digital itu penting bagi memastikan pelajar institusi pendidikan Islam mampu menyesuaikan diri dengan keperluan semasa serta tidak terpinggir dalam arus pembangunan teknologi negara.
"Pendekatan intervensi yang diambil Jakim mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh masa depan pelajar tahfiz dan pondok secara inklusif, seimbang dan berperingkat tanpa menafikan asas pendidikan agama yang menjadi teras institusi berkenaan," ujar beliau.