KUALA LUMPUR - Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menegaskan bahawa kes yang melibatkan dirinya itu tidak akan menjejaskan reputasi serta kewibawaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut beliau, institusi itu seharusnya diberi peluang untuk menyelesaikan kemelut yang melanda.
"Ia tidak akan menjejaskan angkatan tentera kerana angkatan tentera wujud sejak 92 tahun lalu dan kami akan terus kekal kuat.
"Kami akan bangkit semula Insya-ALLAH, berilah peluang kepada angkatan tentera dalam kalangan kita untuk berundur seketika dan menilai semula tindakan yang sepatutnya diambil," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian menjawab soalan media berhubung pertuduhan dihadapi pegawai tertinggi tentera akan menjejaskan reputasi ATM secara keseluruhannya.
Ketika Mohd Nizam ketika berjalan keluar meninggalkan pekarangan Kompleks Mahkamah, beliau sempat berseloroh dan mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan kepada media.
Terdahulu, Mohd Nizam, 60, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua kes guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM552,481.90 dan masing-masing satu pecah amanah Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) membabitkan RM3 juta dan menerima RM200,000 sejak 2024 lalu.
Mengikut pertuduhan, beliau sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) menggunakan kedudukan untuk suapan bagi diri sendiri iaitu melibatkan jumlah RM267,481.90 dan RM285,000.
Dia dituduh melantik lima syarikat untuk menjalankan kerja pembekalan kain pelikat, kain batik, ‘multifunctional folding pliers’, beg galas dan tuala mandi untuk bungkusan barang hari raya bagi tahun 2025 kepada TKAT.
Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu telah diamanahkan wang sejumlah RM3 juta di akaun bank milik TKAT, telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut.
Selaku PAT ATM, telah menerima untuk diri sendiri wang RM200,000 dengan tanpa balasan daripada seorang pengarah syarikat berusia 57 tahun, yang diketahui mungkin mempunyai kena-mengena dalam urusan yang akan dijalankan oleh tertuduh.
Bekas PAT ke-23 itu membayar jaminan sebanyak RM180,000 bagi kesemua pertuduhan dan kes disebut semula pada 31 Mac depan.