Perpindahan Salah dari Liverpool dianggap tidak dapat dielakkan

Iklan
Mohamed Salah

TOKOH-TOKOH berpengaruh dalam kancah bola sepak Arab Saudi dilaporkan semakin yakin bahawa Mohamed Salah bakal meninggalkan Liverpool pada jendela perpindahan musim panas akan datang.

Bintang Mesir itu sebelum ini melalui tempoh yang agak bergolak di bawah kendalian pengurus Liverpool, Arne Slot.

Iklan
Iklan

Walaupun perpindahan pada bulan ini tidak akan berlaku, keputusan muktamad mengenai masa depannya dijangka akan dibuat pada penghujung musim.

Salah telah lama dikaitkan dengan perpindahan bernilai tinggi ke Arab Saudi dan spekulasi tersebut bertiup kencang pada Disember lalu selepas perselisihan faham secara terbuka dengan Slot.

Iklan

Penyerang itu mendakwa Slot seolah-olah menyalahkannya ketika prestasi pasukan merosot, sekali gus menjadikan kemungkinan beliau angkat kaki pada Januari kelihatan hampir pasti.

Bagaimanapun, tempoh Salah beraksi bersama skuad kebangsaan Mesir di Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertenang dan menjernihkan keadaan.

Iklan

Salah terus disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad The Reds sebaik sahaja pulang, membantu pasukan mencatat kemenangan 3-0 ke atas Marseille pada Rabu, menandakan ketegangan antara mereka telah reda.

Namun, laporan The i Paper memetik sumber dari negara Teluk itu yang menyifatkan perpindahan Salah ke Liga Pro Saudi pada musim panas nanti sebagai sesuatu yang"tidak dapat dielakkan".

Sebelum ini, kelab-kelab gergasi seperti Al-Hilal, Al-Qadisah dan Neom dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Salah. Malah, Ketua Liga Pro Saudi, Omar Mugharbel secara terbuka menyatakan bahawa Salah sentiasa dialu-alukan dalam saingan liga tersebut.

Menurut laporan The Telegraph, Salah dan bintang Real Madrid, Vinicius Junior merupakan dua sasaran utama liga berkenaan. Ia susulan jangkaan bahawa bintang sedia ada seperti Sadio Mane, Fabinho, N’Golo Kante dan Karim Benzema mungkin akan berhijrah keluar menjelang 2026.

Liga Pro Saudi dirasakan perlu melakukan pembelian berprofil tinggi pada jendela perpindahan musim panas ini bagi mengekalkan momentum mereka. Desakan itu semakin kuat sekiranya Kante dan Ruben Neves meninggalkan Arab Saudi bulan ini apabila Kante dikaitkan dengan Fenerbahce manakala Neves dipantau oleh Manchester United.

Dalam pada itu, Liga Pro Saudi turut menyedari persaingan sengit daripada Liga Bintang Qatar yang telah berjaya memikat nama besar seperti Roberto Firmino, Marco Verratti dan Julian Draxler.

Untuk rekod, Salah masih mempunyai kontrak bersama Liverpool sehingga Jun 2027 selepas menandatangani lanjutan kontrak bernilai £350,000 seminggu pada akhir musim lalu. Liverpool sebelum ini menolak tawaran £150 juta daripada Al-Ittihad pada September 2023 dan menegaskan pemain itu tidak akan dijual.

Arne Slot turut memuji profesionalisme Salah selepas kemenangan menentang Marseille.

"Ia membuktikan betapa hebatnya beliau sebagai seorang profesional apabila mampu beraksi selama 90 minit untuk kami selepas hanya satu hari latihan, walaupun telah berjauhan lebih sebulan bersama pasukan lain.

"Dia hampir menjaringkan gol. Biasanya dia akan menjaringkan gol, tetapi ia tidak menjejaskan kami kerana kami berjaya menjaringkan tiga gol," kata Slot.