SELEPAS 33 tahun tidak bertemu, barisan legenda Kedah 1993 bakal kembali berkumpul bagi mengimbau kenangan lama pada Kejohanan Langkawi Merdeka Cup Nostalgia 1993 bertemu legenda Singapura yang berlangsung di Stadium LADA, Langkawi pada malam Sabtu.
Bekas pemain Kedah dan kebangsaan, Datuk Lim Teong Kim berkata, perkara paling dirinduinya ialah persahabatan yang terjalin tanpa mengira bangsa.
Menurutnya, pertemuan semula bersama rakan-rakan sepasukan selepas lebih tiga dekad itu cukup bermakna kerana hubungan persahabatan yang dibina ketika bersama skuad Kedah 1993 masih kekal dalam ingatan.
“Saya rindu nak berjumpa dengan semua pemain termasuk semua bekas pemain dari Singapura,” katanya.
Menurutnya, usaha menghimpunkan semula barisan legenda itu juga mempunyai makna tersendiri kerana menjadi penghormatan kepada tokoh pembangunan bola sepak Kedah, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil.
Beliau turut menghargai usaha Datuk Zuraidi Rahim menerusi Team DZR yang berjaya menyatukan kembali bekas pemain Kedah selepas 33 tahun berpisah selain mengembalikan minat peminat terhadap bola sepak dan memperkenalkan sejarah pasukan Kedah kepada generasi baharu.
Sementara itu, tiga bekas pemain import Kedah iaitu Tibor Szaban, Peter Nieketien dan Olubunmi Adigun turut kembali ke Malaysia bagi menyertai pertemuan bersejarah tersebut.
Pada final Piala Malaysia 1993, Kedah menewaskan Singapura dengan keputusan 2-0 hasil jaringan Radhi Mat Din dan Lee Kin Hong.